KOTA TINGGI: Pasangan suami isteri di Kampung Bukit Sedili Besar, di sini yang bumbung rumahnya mengalami kerosakan kini dapat menarik nafas lega apabila terpilih dalam Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan (PJM MINDEF) pada tahun ini.
Norainon Noranazar Nazarudin, 48, berkata, menerusi program itu bumbung rumahnya yang bocor akan ditukar oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tidur malam jika hujan, saya akan kejutkan suami dan anak-anak untuk tadah air. Malah kami juga terpaksa tutup soket elektrik menggunakan plastik kerana bimbang litar pintas,” kata pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis itu. Suaminya, Zamri Samsudin, 50 pula merupakan orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, mereka hanya bergantung hidup dengan bantuan bulanan RM620 daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perbelanjaan harian.
Katanya, kediaman mereka juga dibina atas ihsan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada tahun 2010.
Seorang lagi penerima bantuan, Jemah Musa, 70, juga melahirkan kesyukuran apabila rumahnya yang mengalami kerosakan bumbung akibat ribut Mei lalu, dilawati Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dia yang juga pesara guru tadika Kemas berkata, buat sementara waktu bumbung rumahnya itu ditutup dengan kanvas bagi mengelak kebocoran ketika hujan.
“Kami tidak mampu baiki bumbung itu kerana suami hanya bekerja sebagai nelayan dan anak-anak pula sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen sendiri,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyempurnakan Majlis perasmian PJM MINDEF 2024 Peringkat Negeri Johor dan turut menyerahkan cek peruntukan kepada lima penerima bantuan PJM bagi daerah Kota Tinggi di Kampung Bukit Sedili Besar di sini.
Pelaksanaan PJM MINDEF 2024 bagi negeri Johor melibatkan 24 penerima dari Simpang Renggam, Parit Sulong, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Muar dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM603,637.10.
Program itu antara inisiatif Kementerian Pertahanan selari dengan Teras Empat Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021- 2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Demi Pertahanan Menyeluruh bagi meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin.
Mohamed Khaled berkata, pada tahun ini Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) menerima peruntukan sebanyak RM3.23 Juta bagi melaksanakan PJM meliputi 91 penerima melibatkan bina baharu, selenggaraan dan pembaikan rumah asnaf veteran ATM, masjid atau surau, dewan serta pusat komuniti.
Sejak 2021 hingga 2023, sebanyak 380 PJM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kos RM7.12 juta, manakala bagi tahun 2024 sebanyak 91 PJM akan dilaksanakan merangkumi kos RM3.23 juta.
Turut hadir pada program itu, Panglima 7 Briged; Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad; Ketua Jurutera Markas Tentera Darat; Brigedier Jeneral Ts. Shahruddin Mohd. Noh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sedili, Muszaide Makmor. – UTUSAN