IPOH: Perak sekali lagi menjadi tumpuan dengan penganjuran Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 yang berlangsung tiga hari sehingga Rabu ini di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini.
Persidangan tahunan yang memasuki tahun ketujuh ini dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Bertemakan Together We Stand: Muslims and Global Humanity, WCIT 2024 disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Persidangan membawa tujuh sub-tema yang menekankan aspek penting dalam dunia Islam kontemporari termasuk politik global, kedaulatan undang-undang, tadbir urus dan integriti, pendidikan dan penyelidikan, kerjasama dan pembangunan ekonomi, kesenian dan kemanusiaan, serta teknologi hijau dan kemampanan persekitaran.
Ia dijangka menarik lebih 1,000 peserta terdiri daripada ulama, pemimpin, intelektual, profesional dan anggota masyarakat.
WCIT 2024 mengetengahkan seramai 38 barisan pembentang yang tersohor di peringkat antarabangsa. Antara nama besar yang akan membentangkan kertas kerja ialah mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla; Pengasas Medina Institute Amerika Syarikat, Shaykh Muhammad Yahya Al Ninowy dan Prof. Gerges A Fawaz dari London School of Economics and Political Sciences.
Selain aktiviti akademik, WCIT 2024 turut menyediakan program untuk orang awam iaitu Karnival Pendidikan Tinggi 2024 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah sepanjang tempoh persidangan. Penganjuran karnival selama tiga hari itu dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang program berlangsung bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk gerai Jualan Rahmah Madani dan Program WCIT 2024 Berselawat pada 29 Julai, pukul 8 malam.
Penganjuran WCIT 2024 ini jelas menunjukkan komitmen berterusan USAS dan Kerajaan Negeri Perak dalam mempromosikan dialog intelektual dan pertukaran idea di peringkat global, sambil membawa manfaat kepada masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti sampingan.
Ia juga mencerminkan usaha untuk menangani isu-isu semasa dalam dunia Islam melalui perbincangan dan pertukaran idea yang konstruktif. – UTUSAN