Na’im fokus isu miskin di Kampung Baru

Na’im fokus isu miskin di Kampung Baru

MOHD. Na’im Mokhtar (lima kiri) bersama wakil pelajar dan ibubapa penerima bantuan gerobok rezeki pada Pelancaran Gerobok Rezeki MAIWP di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memberi fokus pada isu kemiskinan di Kampung Baru di sini yang menjadi kampung angkatnya.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sehubungan itu agensi-agensi di bawah kementeriannya akan melaksanakan pelbagai program untuk membangun dan mengimarahkan kawasan tersebut.

Antaranya adalah program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang turun padang menyantuni dan sampaikan bantuan kepada golongan memerlukan di sekitar Kampung Baru.

Katanya, antara keutamaan diberikan adalah kepada usaha menangani isu-isu kemiskinan, keciciran pendidikan dan kesihatan.

“Saya bersama 14 agensi di jabatan ini akan berusaha sebaik mungkin untuk membangun dan mengimarahkan kampung ini dengan program penghayatan dan pembangunan insan.

“Saya meletakkan keutamaan semoga Kampung Baru mendapat lebih penumpuan untuk menangani isu-isu yang dihadapi masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Peluncuran Program Santuni Madani Kampung Angkat, di sini, kelmarin.

Aktiviti itu dijalankan sempena majlis Peluncuran Program Santuni Madani: Mini Karnival Kampung Angkat oleh menteri tersebut yang telah memilih Kampung Baru sebagai kawasan keutamaannya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua menteri untuk memilih kampung angkat bagi menyelami masalah rakyat.

Menurutnya, program itu dimulakan dengan lawatan ke tiga buah rumah asnaf yang juga penerima bantuan zakat MAIWP.

Kemudian, acara diteruskan dengan penyerahan Program Gerobok Rezeki Sekolah Wilayah Persekutuan tahun 2024 bernilai RM1.5 juta di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru.

“Program Gerobok Rezeki merupakan inisiatif MAIWP dengan kerjasama Pertubuhan Keinsanan Malaysia (Humanity) dalam memastikan tiada pelajar sekolah dalam kelaparan.

“Dengan konsep ‘ambil atas keperluan, beri tanpa persoalan’, ia memberi manfaat kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa sebagai inisiatif menyebar luas keindahan Islam dan semangat perpaduan,” katanya.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, lawatan tersebut memberi gambaran jelas tentang masalah yang dihadapi penerima bantuan.

Katanya, walaupun sudah menerima bantuan sejak beberapa tahun, mereka masih berdepan kehidupan yang daif.

“Walaupun MAIWP telah membantu, kita masih jumpa benda-benda baharu yang mereka perlukan.

“Ini adalah hikmah apabila kita turun padang, kita boleh nampak masalah seperti rumah yang diduduki itu berada dalam keadaan tidak baik seperti atap zink tercabut dan siling pecah.

“Ini kalau kita tidak turun, kita tidak akan nampak. Jadi ini adalah antara sudut fizikal yang kita cuba atasi,” katanya.

Tambahnya, sebagai anak jati kelahiran Kampung Baru itu, beliau komited mengenal pasti masalah tersebut seperti penubuhan jawatankuasa khas.

Katanya, beliau bertanggungjawab untuk berusaha membantu keperluan warga kampung dalam pelbagai aspek terutama bidang pendidikan dan penghayatan Islam.

“Ini kerana ia berkait rapat dengan dengan bidang tugas saya selaku Menteri Agama.

“Komitmen saya adalah untuk membantu Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam memastikan kebajikan penduduk yang mana kawasan kerana jatuh di bawah Parlimen Titiwangsa.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beliau dan juga Dr. Zaliha Mustafa atas segala kerjasama yang diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN