MYStartup Rai 10 Startup Inovatif Pada “Demo Day” Accelerator, 6 Startup Raih Pelaburan Sehingga RM750,000

MYStartup rai 10 Startup Inovatif pada ‘Demo Day’ Accelerator, 6 Startup raih pelaburan sehingga RM750,000

5 startup terbaik (dari kiri: Nakngaji, messenger.ai, Otter Barista, ALT Synergy, Axtraction AI) masing-masing membawa pulang RM10,000 dan akan menyertai program eksklusif MYStartup Market Access.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MYStartup Accelerator, diterajui oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), meraikan 10 startup inovatif dari kohort ketiga pada acara kemuncak “Demo Day” program itu.

Lima startup terbaik juga berpeluang untuk menyertai MYStartup Market Access, sebuah program ekslusif yang menyediakan peluang untuk startup terpilih meneroka potensi pasaran, membina hubungan perniagaan antarabangsa, dan mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Lima startup terbaik, masing-masing membawa pulang RM10,000, adalah seperti berikut:

  1. Nakngaji: Nakngaji menghubungkan pelajar Quran dengan guru-guru pakar, menawarkan platform yang cepat, telus, dan fleksibel untuk pendidikan dalam talian atau secara bersemuka.
  2. Otter Barista: Otter Barista adalah barista robotik pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menyediakan pengalaman kebersihan tanpa sentuhan 100% dengan penyerahan cawan dan penutup secara automatik.
  3. messengerco.ai: messengerco.ai menyediakan hadiah korporat diperibadikan dan platform pemberian hadiah B2B berintegrasi dengan sistem HR, CRM, dan jualan pelanggan, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengukur pulangan pelaburan (ROI) dan mendorong interaksi.
  4. ALT Synergy: ALT Synergy merevolusikan industri nutraseutikal dengan teknologi terkini untuk meningkatkan ketersediaan bio bagi kesihatan dan kesejahteraan yang optimum.
  5. Axtraction AI: Axtraction AI menawarkan penyelesaian inovatif “Document AI” untuk pematuhan kawal selia yang tepat dan efisien dalam perbankan, perkhidmatan kewangan, dan insurans (BFSI).

Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, memuji pencapaian setiap startup yang mengambil bahagian dalam “Demo Day”, menyatakan penghargaan beliau terhadap idea-idea inovatif yang telah diketengahkan untuk perkembangan perniagaan mereka.

“Kami sangat berbangga dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh startup finalis dari kohort ketiga program ini. Mereka telah berjaya meningkatkan pendapatan syarikat mereka secara signifikan, dan enam startup juga telah berjaya meraih pelaburan berjumlah RM750,000.

“Kejayaan ini menunjukkan impak segera daripada program terancang yang berlangsung selama empat bulan. Di Cradle, kami percaya bahawa startup inovatif ini mencerminkan semangat keusahawanan yang kami berusaha untuk suburkan dalam ekosistem ini, dan kami berharap mereka terus berkembang dan berjaya, ” katanya.

Enam startup terpilih untuk pelaburan bernilai sehingga RM750,000 secara kumulatif daripada NEXEA, sebuah firma modal teroka dan pemecut startup, adalah seperti berikut:

  1. Nakngaji – RM250,000
  2. Otter Barista – RM250,000
  3. Choladeck (Twodart) – RM100,000
  4. EasyRenz – RM50,000
  5. ALT Synergy – RM50,000
  6. Axtraction AI – RM50,000

Ben Lim, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas NEXEA, berkata: “Dalam ekosistem NEXEA, komitmen kami melampaui pelaburan kewangan. Kami amat berdedikasi terhadap pertumbuhan dan kejayaan startup yang kami sokong, menawarkan bukan sahaja pembiayaan tetapi juga bimbingan yang tidak ternilai daripada pelabur berpengalaman.

“Program pemecut kami berfungsi sebagai jambatan, menghubungkan startup yang berpotensi dengan pelabur dan mentor yang memahami cabaran dan peluang dalam mengembangkan perniagaan. Di NEXEA, kami percaya dalam memupuk hubungan jangka panjang, memastikan startup mendapat sokongan dan bimbingan yang mereka perlukan untuk tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

MYStartup Accelerator memberi tumpuan kepada bimbingan daripada usahawan berjaya untuk startup berpotensi.

Program ini telah menerima lebih daripada 240 permohonan lengkap untuk kohort ketiganya, yang mana 25 startup telah dipilih pada Mac lepas.

Selepas empat bulan dan lebih daripada 150 jam bimbingan, serta empat sesi masterclass, 10 startup finalis telah dipilih untuk membentangkan idea-idea inovatif mereka kepada rakan usahawan, mentor, pelabur, dan komuniti startup Malaysia.

Startup ini telah melalui proses pengembangan perniagaan yang teliti dan menyeluruh sepanjang program ini, dengan kohort sebelumnya mencapai purata pertumbuhan pendapatan tahunan purata sebanyak 250%.

Syamil Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Nakngaji, menyatakan bahawa pembiayaan, peluang jaringan, dan bimbingan yang diperoleh melalui program ini adalah penting untuk perkembangan syarikat yang seterusnya.

“Setelah memulakan perniagaan kami selama enam tahun yang lalu dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 70% setiap tahun, kami kini mencari sumber untuk meningkatkan pertumbuhan kami sebanyak lima kali ganda dari tahun ke tahun.

“Bimbingan adalah penting untuk memaksimumkan metrik perniagaan dan kewangan kami dan memastikan pertumbuhan kami lancar mengikut perancangan.

” Sepanjang program ini, kami dapat merancang dan melaksanakan strategi perniagaan jangka pendek dan jangka panjang dengan teliti, justeru membolehkan kami mengenal pasti jurang dan peluang untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.

Menurutnya, mereka amat teruja kerana terpilih untuk menyertai program MYStartup Market Access sejajar dengan matlamat syarikat untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mengembangkan perkhidmatan.

“Kami berharap untuk belajar lebih banyak daripada pakar industri dan memanfaatkan pandangan dan pengalaman mereka untuk menjayakan perkembangan perniagaan kami ke peringkat global,” tambah Syamil.

Dilancarkan pada tahun 2022, MYStartup Accelerator adalah program di bawah inisiatif MYStartup oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang diterajui oleh Cradle.

Program selama empat bulan ini bertujuan untuk merangsang pertumbuhan startup, memperkenalkan produk dan/atau perkhidmatan mereka ke dalam pasaran dan mempersiapkan mereka untuk perkembangan selanjutnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Tetingkap Tunggal untuk ekosistem startup Malaysia, layari www.mystartup.gov.my. Peluang dan sumber untuk kejayaan startup anda bermula di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN