Meremajakan Skim Rondaan Sukarela

Meremajakan Skim Rondaan Sukarela

AARON Ago Dagang memeriksa kawalan keselamatan pada program Pendidikan Keselamatan Kejiranan dan Jom Ronda SRS Bersepadu Peringkat WP Putrajaya di KRT P14H, Presint 14 Putarajaya. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKIM Rondaan Sukarela (SRS) dilancarkan pada 21 Februari 2004 bertujuan membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat.

Penubuhan pasukan kawalan keselamatan komuniti itu sejak 20 tahun lalu adalah selari dengan aspirasi ‘Keselamatan Komuniti Adalah Tanggungjawab Bersama’ selaras dengan fungsi dan tugas Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga di bawah Seksyen 8 Akta Rukun Tetangga 2012.

Di bawah akta tersebut, ia membolehkan SRS mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana.

Mengikut rekod, sejumlah 5,409 SRS ditubuhkan sehingga bulan lalu di seluruh negara dengan keanggotaan hampir 100,000 orang.

Sepanjang tempoh itu, SRS ternyata berjaya memenuhi tanggungjawabnya apabila sebanyak 2,176 pengendalian kes dapat direkodkan semasa rondaan dilaksanakan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 130 kes dirujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh kes kepada jabatan agama, 11 kes kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dua kes kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), manakala selebihnya kepada agensi berkaitan.

Berdasarkan pencapaian ini, ia membuktikan fungsi SRS mampu membantu pihak berkuasa keselamatan dan agensi terlibat dalam mengawal keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan kejiranan komuniti.

Dalam usaha memperkasakan SRS ini, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) merangka hala tuju baharu iaitu ‘Meremajakan SRS’ untuk melonjakkan peranannya sebagai entiti penting di peringkat komuniti.

Ini bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan ketahanan komuniti dengan antara inisiatifnya ialah meningkatkan keberkesanan SRS melalui penggunaan aplikasi teknologi moden dalam menjalankan tugas kawalan dan rondaan.

Selain itu, kualiti peralatan SRS ditambah baik serta memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan komuniti melalui aktiviti keselamatan kejiranan dengan ‘Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS’.

Pada tahun ini, kementerian menyediakan peruntukan khas kepada SRS dengan jumlah RM3,244,192 yang mana sebahagiannya untuk pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan SRS kepada 119 buah rukun tetangga (RT) dengan anggaran peruntukan sebanyak RM 837,500.

Sebanyak RM 2,175,000 daripada jumlah peruntukan itu pula adalah bagi tujuan pembekalan 69 buah kabin SRS baharu serta sejumlah RM 231,692 untuk pembaikan kabin sedia ada di 18 kawasan SRS.

Langkah ini bertujuan meningkatkan keaktifan dan keberkesanan SRS dalam komuniti dengan menyasarkan kekerapan aktiviti kawalan dan rondaan SRS dapat dipertingkatkan lagi melalui penglibatan golongan muda dalam SRS.

Saya berharap, setiap SRS terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 peratus daripada golongan belia.

Kementerian sentiasa memberikan perhatian khusus dalam perihal kebajikan anggota SRS antaranya menyediakan insentif kepada mereka melalui Skim Insurans Kemalangan Diri Berkelompok dengan kerjasama Syarikat Insuran Tune Protect.

Menerusi skim perlindungan itu, sebanyak RM 1,089,976 pampasan diberikan kepada 389 kes melibatkan anggota SRS pada tahun lalu.

Pencegahan jenayah peringkat komuniti yang berkonsepkan Community Oriented Policing harus menjadi wahana untuk komuniti bersatu demi menjaga keharmonian setempat.

Peranan SRS juga dilihat mampu membawa perubahan positif dalam usaha menyatupadukan penduduk atau pemastautin di sesebuah kawasan dan menimbulkan rasa selamat dalam kalangan mereka yang menetap di sesuatu kawasan.

Penulis ialah Aaron Aro Dagang ialah Menteri Perpaduan Negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN