BANGI: Majikan luah rasa lega kerana sudah melaksanakan tanggungjawabnya kepada pekerja apabila mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak awal lagi.
Pengarah Naratif Sdn. Bhd, Muhammad Aniq Qawiem Mohamad Sazaly berkata, beliau menyedari kepentingan untuk mencarum Perkeso sejak awal menubuhkan syarikat.
Menurutnya, majikan lain juga perlu mencarum Perkeso untuk pekerja mereka demi keselamatan dan bagi mengelak implikasi pada jangka masa panjang.
“Saya bersyukur yang saya sudah mencarum sempena dengan Bulan Pemutihan Perkeso, jadi saya rasa lega.
“Selain daripada soal keselamatan pekerja, sebenarnya Perkeso turut mempunyai banyak lagi faedah lain yang kita boleh dapat apabila mencarum,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu, Perkeso melancarkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) peringkat kebangsaan 2024 secara serentak di seluruh negara melibatkan 1,000 pegawainya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Ops Kesan dilaksanakan bukan untuk menghukum tetapi sebaliknya mahu memberi kesedaran dan pendedahan kepada majikan.
Jelasnya, Ops Kesan kali ke-15 itu akan dilaksanakan hingga akhir tahun ini bagi mengesan sebanyak mungkin majikan yang tidak mencarumkan pekerja mereka.
“Matlamat kita bukan untuk mengenakan kompaun atau faedah caruman lewat bayar dan sebagainya. Matlamat kita adalah untuk mereka mendaftar serta membayar caruman.
“Ini untuk memastikan tiada kelompongan caruman pekerja. Misalnya, satu majikan yang saya sendiri keluarkan kompaun sebentar tadi, dia ada pekerja tempatan tetapi sudah diberhentikan, mungkin pekerja itu sudah bekerja lebih setahun tetapi tidak didaftar dan dicarum.
“Jika berlaku apa-apa kepada pekerja ini, setahun tidak ada caruman, mungkin akan menjejaskan bayaran faedahnya. Mereka wajib didaftar dan dicarumkan termasuk membayar caruman tertunggak sebelum ini.,” katanya.
Tambahnya, majikan yang dikeluarkan kompaun diberi tempoh selama seminggu untuk mendaftar dan mencarumkan pekerja mereka.
“Jika gagal, kita akan laksanakan tindakan susulan dengan membawa mereka ke muka pengadilan, di mana mereka boleh didakwa dan jika disabit kesalahan mereka boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Tambahnya setakat pukul 5 petang semalam, sebanyak 4,299 pemeriksaan ke atas premis dilaksanakan yang menyaksikan 555 Notis Kompaun Akta 4 dan 232 Notis Kompaun Akta 800 dikeluarkan.
“Keseluruhan jumlah kompaun bagi kedua-dua Akta adalah sebanyak 787 dengan jumlah RM652,500.00,” katanya. – UTUSAN