SHAH ALAM: KPS Berhad menyediakan latihan penjagaan warga emas kepada 200 peserta dalam kalangan B40 dan asnaf menerusi inisiatif pelaburan sosial yang dikenali sebagai KPS Caregiver yang telah diperkenalkan semenjak tahun 2019.
KPS Caregiver merupakan salah satu inisiatif keusahawanan sosial oleh KPS Berhad dengan kerjasama Cality Care Malaysia yang menyediakan latihan komprehensif dalam bidang penjagaan asas warga emas, penjagaan diri, pengurusan ubat-ubatan, pemakanan dan penjagaan demensia kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf.
Dapatan daripada Jabatan Statistik Malaysia mendapati, peratusan penduduk negara yang berumur 60 tahun ke atas telah meningkat daripada 5.2 peratus pada tahun 1970 kepada 6.8 peratus pada tahun 2020.
Trend ini dijangka berterusan, dengan peratusan penduduk bertaraf warga emas dijangka mencapai 14.5 peratus menjelang tahun 2040.
Seiring dengan peningkatan usia penduduk negara, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan juga dijangka meningkat.
Justeru, pada tahun 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 30 peratus daripada kos penjagaan kesihatan negara akan disalurkan kepada kebajikan warga emas.
Angka ini dijangka terus meningkat selari dengan penurunan daya tahan kesihatan warga emas yang rendah dan cenderung kepada penyakit kronik sekali gus memerlukan intervensi penjagaan kesihatan yang lebih kompleks
Selari dengan misi memupuk nilai dan mencipta impak positif, KPS Berhad menerusi program KPS Caregiver akan melahirkan penjaga yang bertauliah dan menyumbang kepada pemerkasaan industri penjagaan warga emas yang direncanakan oleh kerajaan.
KPS Berhad telah mengenal pasti golongan B40 dan asnaf sebagai peserta sasaran untuk menyertai program KPS Caregiver sebagai salah satu usaha mengatasi masalah kekurangan penjaga bertauliah dalam kalangan rakyat tempatan sekali gus memberikan laluan kerjaya kepada golongan tersebut untuk menaik taraf kehidupan mereka.
Ketua Pegawai Kelestarian, Jabatan Perhubungan Pelabur, Kelestarian dan Komunikasi KPS Berhad, Zul Mawardi berkata, KPS Caregiver menyediakan laluan kerjaya kepada para peserta dan semenjak tahun 2023, modul latihan KPS Caregiver telah menerima pentauliahan Sijil Kemahiran Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia.
Menurutnya, dengan pentauliahan ini, graduan program KPS Caregiver mempunyai prospek kerjaya yang lebih cerah dalam industri penjagaan warga emas dan kesihatan yang lain.
“Sebagai contoh, sebahagian daripada graduan lepasan program KPS Caregiver telahpun diterima berkhidmat di pusat perubatan swasta seperti KPJ Tawakal, The Senior Care dan Regan Rehab Hospital di sekitar Lembah Klang.
“Secara purata, 75 peratus peserta program KPS Caregiver telah berjaya memperoleh pendapatan di antara RM1,500 ke RM3,000 sebulan dan pencapaian ini amat memberangsangkan dan jelas menunjukkan bahawa program ini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi bagi golongan berpendapatan rendah dan asnaf,” katanya.
Tambahnya, program KPS Caregiver yang kini memasuki tahun keenam turut berdepan dengan cabaran seperti faktor kurang minat dalam kalangan belia untuk berkecimpung dalam penjagaan warga emas yang dilihat sebagi remeh dan membebankan.
“Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh KPS Berhad dalam menangani cabaran ini adalah dengan meluaskan sayap program ke Sabah dan Sarawak. Justeru, 45 graduan program yang bakal dilahirkan pada 2024, 20 daripadanya berasal dari Sabah dan Sarawak.
“KPS Berhad turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan Kerajaan seperti Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Hidayah Foundation bagi mengenal pasti bakal peserta program dalam kalangan golongan sasaran.
“KPS Caregiver 2024 yang telah bermula semenjak Mei tahun ini menyaksikan penyertaan oleh 45 peserta yang akan menjalani latihan program secara intensif selama lapan bulan sehingga Januari 2025,” jelasnya. – UTUSAN