KUALA NERUS: Bilangan Kaunselor Pendidikan dan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) untuk menjalankan aktiviti kesarjanaan dalam analisis serta kajian berkaitan psikologi dan kaunseling akan ditingkatkan bagi mencapai kesejahteraan insan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam merealisasikan hasrat tersebut, Bahagian Psikologi dan Kaunseling, KPM buat julung kali menganjurkan Kolokium Penyelidikan Psikologi dan Kaunseling KPM Tahun 2024 selama tiga hari berakhir semalam di Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, di sini.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, kolokium itu bertujuan berkongsi ilmu pengetahuan dengan mengenal pasti, menganalisis, membuat penulisan serta membentangkan kajian berkaitan psikologi dan kaunseling.
Menurutnya, persidangan tersebut disertai seramai 250 peserta yang terdiri Kaunselor Pendidikan dari Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK), Bahagian Matrikulasi, Kolej Matrikulasi, guru bimbingan dan kaunseling serta pengamal dalam bidang perkhidmatan berkaitan psikologi dan kaunseling secara bersemuka.
Katanya, pada masa sama, seramai 900 peserta dari seluruh negara pula mengikuti kolokium tersebut secara dalam talian.
“Objektif kolokium adalah untuk melahirkan Kaunselor Pendidikan dan GBK yang kreatif agar dapat menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi.
“Kolokium ini juga merupakan platform untuk perkongsian idea dan perkongsian dapatan kajian psikologi dan kaunseling dalam kalangan warga KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kolokium Penyelidikan Psikologi dan Kaunseling KPM Tahun 2024, di sini, semalam.
Kolokium itu bertemakan ‘Kaunseling dan Psikologi ke Arah Membina Kelestarian dan Kesejahteraan Organisasi’.
Tema persidangan ini dipilih selaras dengan peranan utama Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPsK) di KPM sebagai peneraju perkhidmatan psikologi dan kaunseling bagi mencapai kesejahteraan insan warga KPM.
Shafruddin memberitahu, bagi mencapai fungsi tersebut Kaunselor Pendidikan perlu mempunyai sumber rujukan bagi meningkatkan tahap kompetensi dalam menjalankan tugas.
Tambahnya, salah satu cara untuk mencapai kompetensi dalam menjalankan tugas adalah dengan melaksanakan pembacaan kajian-kajian lepas, penyelidikan kes-kes dan penulisan ilmiah.
“Warga pendidikan yang sejahtera akan memberi kesan kepada kesejahteraan dan mutu kerja organisasi.
“Amalan gaya hidup sihat dan kesihatan mental yang baik dapat membantu individu menguruskan diri dengan cemerlang dan berjaya memberi nilai tambah kepada kehidupan keluarga dan rakan sekerja dalam organisasi masing-masing.
“Ini akan dapat memberi kesan yang positif kepada kehidupan keluarga dan organisasi. Akhirnya, produktiviti dan pencapaian prestasi kerja dapat ditingkatkan,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian BPsK, Salmiah Monshie berkata, antara program yang berlangsung pada sepanjang kolokium itu adalah pembentangan kajian tinjauan dan kajian kes serta perkongsian amalan terbaik kaunseling minda sihat.
Menurutnya, program lain yang diadakan adalah pameran dan reruai serta bahan psikologi dan kaunseling. – UTUSAN