KUALA LUMPUR: KESUMA Leadership Lecture Series atau Siri Syarahan Kepemimpinan KESUMA merupakan satu inisiatif baharu untuk memberi pendedahan kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin berkualiti.
Dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp), KESUMA Leadership Lecture Series merupakan program seperti bual bicara TED-Talk yang akan memfokuskan topik kepimpinan.
Program itu bakal mengetengahkan tokoh-tokoh terkemuka berjaya dan banyak memberi sumbangan yang diadakan secara berkala dengan menyasarkan penglibatan golongan profesional muda.
Melalui inisiatif itu, ia diharap dapat melahirkan pemimpin masa depan di samping memberi inspirasi kepada mereka dari segi impak positif secara umum.
Justeru itu bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, buat julung kalinya program itu menampilkan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, usaha berkenaan merupakan satu platform pembelajaran sepanjang hayat bagi memberi pendedahan dan kemahiran kepada orang ramai.
Katanya, langkah peningkatan kemahiran dan bakat perlu dilihat selari dengan pembangunan ekonomi negara yang kini berdaya saing untuk membawa kemajuan kepada tanah air.
“Setiap orang mempunyai keupayaan untuk tahap seterusnya. Sama ada seorang profesional berpengalaman atau pekerja, maka anda perlu bermula di sini demi detik berharga untuk kerjaya dan laluan masa depan anda,” katanya pada majlis pembukaan syarahan itu.
Dalam pada itu, Abdul Wahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkongsi pengalamannya menerajui nyarikat-syarikat besar melibatkan sektor perbankan, telekomunikasi dan pelaburan dengan mengambil kira kelulusan akademik walaupun berlatar belakang keluarga sederhana.
Beliau menggariskan tiga ciri untuk menjadi seorang pemimpin baik dan efektif iaitu mempunyai integriti, kecekapan dan rendah diri.
Abdul Wahid kemudian menegaskan tiada jalan singkat untuk berjaya dengan semua pihak perlu bekerja keras dan ‘work smart’ untuk mengukir kejayaan.
NTW 2024 yang berlangsung dari 24 Jun sehingga 30 Jun lalu mencatatkan penyertaan luar jangka dengan 375,000 peserta dan 65,115 kursus di samping 736 program dan penglibatan 1,400 penyedia kursus.
Jumlah itu melebihi sasaran ditetapkan 200,000 peserta dan 25,000 kursus kemahiran sekali gus menggambarkan NTW menerima sambutan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Paling membanggakan NTW 2024 telah menerima penyertaan seawal usia umur empat tahun dan paling usia, 73 tahun.
Program itu merupakan satu minggu penuh dengan latihan dan aktiviti dengan menghimpunkan organisasi dan individu pelbagai latar belakang serta industri untuk berkongsi pembelajaran dan pembangunan bakat.
Semua latihan ditawarkan secara percuma itu berlangsung di pelbagai lokasi di seluruh negara serta melalui pelbagai mod dan platform pembelajaran.
Majlis Kemuncak NTW 2024 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Jun lalu. – UTUSAN