Kerangka Pedagogi Digital: Ke Arah Pendidikan Kalis Masa Depan

Kerangka Pedagogi Digital: Ke Arah Pendidikan Kalis Masa Depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkembangan bidang pendidikan dalam era Revolusi Industri Keempat (4IR) telah membawa lonjakan besar dalam pendidikan digital. Kemajuan dalam bidang teknologi menawarkan kemampuan pendidikan yang mustahil sebelum ini, di mana persilangan teknologi dalam dunia fizikal, digital dan biologikal membawa masa depan pembelajaran di luar imaginasi.

Perkembangan teknologi digital dalam pendidikan bergerak pantas tanpa sempadan. Dalam keadaan ini, saya percaya, para pendidik perlu inovatif dan dinamik meneraju kemahiran teknologi digital agar kekal relevan untuk mendidik generasi baharu.

Kesan Gangguan Pekerjaan

Norazah Mohd Nordin membentangkan kertas kerja Kerangka Pedagogi Digital Kalis Masa Depan dalam Majlis Syarahan Perdana Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (ukm) pada 24 Mei lalu.

Dalam konteks menangani masalah gangguan pekerjaan, tuntutan untuk kemahiran baharu dan peningkatan polarisasi sosioekonomi, sistem pendidikan mempunyai peranan penting dalam mempersiapkan warga global dan tenaga kerja masa depan.

Model pendidikan mesti disesuaikan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran dalam mencipta dunia yang lebih inklusif, kohesif dan produktif. Sistem pendidikan perlu beralih daripada pembangunan kandungan dan pengalaman pembelajaran kepada aspek kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan pada masa depan.

Pelajar mesti bersedia untuk menjadi penyumbang produktif ekonomi masa depan, dan warganegara yang bertanggungjawab dan aktif dalam masyarakat masa depan. Bagi merealisasikan visi ini, pelajar perlu dilengkapi dengan empat set kemahiran utama iaitu kemahiran kewarganegaraan global yang memfokuskan kepada pembangunan kesedaran tentang dunia dengan lebih luas, kemahiran inovasi dan kreativiti, kemahiran teknologi dan kemahiran interpersonal.

Kekal Relevan

Untuk ini, pendidik juga perlu kekal relevan dalam usaha mempersiapkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran tersebut bagi menghadapi pekerjaan yang memuncul. Justeru, reka bentuk pedagogi digital kalis masa depan telah dibangunkan sebagai satu mekanisme utama yang memastikan reka bentuk pembelajaran yang sentiasa relevan pada masa depan.

Kerangka pedagogi digital kalis masa depan ini direka bentuk dengan mengintegrasikan teknologi digital dalam proses pembelajaran dan pengajaran, di mana perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan, pemprosesan data raya, realiti maya dan realiti terimbuh serta komputasi awan merupakan unsur utama.

Dalam konteks ini, dunia pendidikan perlu disesuaikan dengan perubahan sedemikian dan memanfaatkan potensi teknologi ini untuk meningkatkan keberkesanan dan kompetensi pelajar dalam pembelajaran. Kerangka pedagogi digital kalis masa depan yang melibatkan reka bentuk pedagogi, ruang pembelajaran, dan teknologi masa depan adalah faktor utama yang memainkan peranan terhadap transformasi ini.

Pedagogi Digital Kalis Masa Depan

Bagi mempersiapkan diri dengan inovasi pedagogi digital kalis masa depan, para pendidik juga perlu memiliki pelbagai kemahiran seperti kemahiran dalam pemikiran analitik, pemikiran kreatif serta ketahanan, keluwesan dan ketangkasan dalam melakukan sesuatu.

Selain itu, dalam proses membangunkan pedagogi digital yang futuristik, pendidik perlu sentiasa bermotivasi dan mempunyai kesedaran kendiri, sentiasa mempunyai rasa ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Saya percaya bahawa para pendidik di Malaysia perlu sentiasa mempertingkatkan literasi teknologi dalam bidang masing-masing, mementingkan penelitian dalam membangunkan pedagogi, mempunyai sikap empati dan sentiasa menjadi pendengar yang aktif.

Pendidikan Digital Kalis Masa Depan

Sesungguhnya, kemajuan teknologi dalam 4IR menawarkan kemampuan pendidikan yang mustahil dilakukan sebelum ini. Universiti diharap bukan sekadar melahirkan graduan untuk pasaran kerja, malah pengubah permainan demi kelestarian dunia. Inilah kontrak sosial baharu dalam pendidikan.

Pendidikan masa depan perlu bersifat luwes dan inklusif tanpa menjejaskan falsafahnya, manakala pengoperasiannya mesti mengoptimumkan teknologi. Perkembangan teknologi digital dalam pendidikan telah bergerak pantas tanpa batasan kerana penggunaan teknologi ini merentasi segala bentuk sempadan yang ada. Dalam keadaan ini, para pendidik perlu pantas meneraju teknologi digital bagi mewujudkan generasi yang kekal relevan.

Justeru, sebagai pendidik yang peranannya sinonim dengan pereka bentuk pembelajaran, kemahiran dalam berinovasi dengan pedagogi digital dalam bidang masing-masing adalah sangat penting. Reka bentuk pedagogi digital kalis masa depan bertujuan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam proses pembelajaran dan pengajaran. – UTUSAN

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN