SUBANG JAYA: AEON BiG melancarkan kempen Segalanya Besar dengan menawarkan pengalaman membeli-belah yang tiada tandingan dengan menekankan nilai hebat melebihi penjimatan sehingga hujung tahun ini.
Dengan asas idea memberi semula kepada komuniti, kempen Segalanya Besar memberi fokus kepada golongan yang memerlukan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Kempen itu dibangunkan secara strategik untuk memenuhi keperluan pelbagai pengguna Malaysia dengan menyediakan gabungan barangan tempatan dan import, promosi hebat serta perkhidmatan pelanggan yang terunggul.
Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kempen Segalanya Besar berteraskan tiga tunjang utama iaitu Pilihan Besar, menawarkan pelbagai jenis produk; Ruang Besar, mewujudkan persekitaran yang luas dan selesa untuk memudahkan proses membeli-belah serta Nilai Besar, memastikan tawaran berharga untuk pembeli.
“Kami amat berbesar hati melancarkan kempen ini, membuktikan dedikasi kami untuk menyediakan nilai dan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan kami.
“Pelancaran Segalanya Besar juga selaras dengan sambutan ‘Orange Day’ yang diadakan di sini dan di AEON BiG Penang Prai. Dengan pelancaran Segalanya Besar dan sambutan Orange Day hari ini, kami menjanjikan lebih banyak promosi dan aktiviti menarik seperti ‘Balloon Drop’ dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berusia 10 tahun kebawah sehingga akhir tahun ini di beberapa cawangan kami.
Bagi sambutan ‘Orange Day’ pula, kami akan adakan dua kali setiap bulan di cawangan yang berbeza dengan tawaran diskaun yang menarik,” katanya ketika ditemui pada hari pelancaran baru-baru ini.
Terdahulu, kempen Segalanya Besar adalah usaha kolaboratif dengan rakan kerjasama strategik iaitu Etika, Mamee, Mahsuri, Midea, Pensonic, Philips, Tyson serta pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa lain yang juga akan turut serta dalam ‘Orange Day’.
Selain itu, AEON BiG turut bekerjasama dengan The Lost Food Project (TLFP) sebagai dedikasi untuk menyelamatkan lebihan makanan sihat dan mengagihkan kepada golongan yang memerlukan di bawah inisiatif ‘Kongsi Rezeki’.
Sheikh Farouk berkata, TLFP memainkan peranan penting dalam mengurangkan pembaziran makanan dan melawan kelaparan.
“Melalui kerjasama ini, pelanggan boleh membeli dan menderma barang keperluan untuk disalurkan kepada komuniti B40, yang akan diedarkan oleh TLFP.”
“AEON BiG juga menyumbang barangan asas bernilai RM10,000 dan kad hadiah bernilai RM3,000 yang akan memberi manfaat kepada 30 keluarga Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang. Ini menunjukkan komitmen AEON BiG terhadap tanggungjawab sosial.
“Kerjasama ini bukan sahaja membantu komuniti kurang bernasib baik tetapi juga selaras dengan komitmen AEON BiG terhadap amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Pada masa sama, AEON BiG juga bekerjasama dengan Polis Subang Daerah Jaya untuk mengedarkan Kotak Ceria kepada keluarga polis sekitar Subang Jaya yang memerlukan bantuan.
“Kotak Ceria ini merupakan sumbangan barang asas seperti beras, telur, minyak masak. Pada hari ini, kami menyalurkan sebanyak 30 hingga 50 kotak bernilai RM80 kepada Polis Ketua Subang Daerah Jaya,” katanya. – UTUSAN