IKMa usaha tingkat ilmu koperasi termasuk tawar diploma, PhD

IKMa usaha tingkat ilmu koperasi termasuk tawar diploma, PhD

Persidangan antarabangsa berkaitan gerakan koperasi antara usaha Institut Koperasi Malaysia (IKMa) untuk meningkatkan pengetahuan ahlinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mampu melahirkan warga koperasi yang cemerlang dan berdaya saing menerusi pelbagai program profesional yang dijalankan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Selain kursus jangka pendek yang menyediakan sijil, institut tersebut juga menawarkan program peringkat diploma dan Doktor Falsafah (PhD) khususnya melalui Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang ditubuhkan oleh IKMa.

Kerjasama itu membolehkan IKMa menjadi antara koperasi di dunia yang menawarkan program-program berkaitan ilmu koperasi bagi memperkukuhkan pembangunan modal insan koperasi di Malaysia.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, IKMa menumpukan kepada pengurusan falsafah koperasi serta program usahawan yang masih terikat dengan pembangunan koperasi.

“IKMa juga telah melengkapkan sistem pendidikan formal dengan menambah baik modul dan program bagi memastikan semua koperasi yang terlibat mendapat bekalan modal insan yang setimpal dengan cabaran pada masa akan datang.

“Namun ketika ini, perlu dilihat program pendigitalan yang juga merupakan proses pembangunan teknologi akan menjadi satu perkara yang cukup penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Persidangan Koperasi Antarabangsa 2024 (ICC 2024) lalu, IKMa mahu memberi tumpuan agenda pendigitalan kepada koperasi supaya keupayaannya dipertingkat sekali gus menjadi medan baharu pembangunan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd. Ali Mansor berkata, beberapa program dirangka bagi membolehkan aspek digitalisasi diterapkan oleh koperasi selaras Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030.

Menurutnya, IKMa akan melatih 50 koperasi agar membuat satu perubahan dari segi pendigitalan seterusnya memberi ruang koperasi meningkat keupayaan yang menjadi sasaran kita dalam perolehan koperasi masa akan datang..

“IKMa bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan ANGKASA akan berusaha mempertingkatkan gerakan koperasi di negara ini supaya lebih aktif dan berdaya saing.
“IKMa juga sentiasa bertemu ahli lembaga pengarah koperasi bagi memberi kefahaman mengenai pengurusan asas koperasi dan memberikan kursus berkaitan kepada pengurusan, katanya.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, IKMa dan Angkasa akan bekerjasama dalam menangani cabaran melaksanakan proses pendigitalan koperasi di seluruh negara.

Menurutnya, antara cabaran dalam proses pendigitalan koperasi adalah kekurangan generasi muda serta kewujudan koperasi yang tidak aktif dan berstatus dorman.

“Terdapat hampir 30 peratus daripada kira-kira 16,000 koperasi adalah tidak aktif dan usaha sedang dibuat untuk pastikan koperasi berdaftar terus bergerak.

“Kami akan meningkatkan kesedaran tentang pendigitalan dalam kalangan kepimpinan koperasi agar mereka bersedia menggunakan proses itu dengan sepenuhnya,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN