JOHOR BAHRU: Seramai 145 graduan bagi Sesi II 2022/2023 dan Sesi I 2023/2024 akan menerima diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB), hari ini.
Pengarah PMJB, Dr. Supa’at Zakaria@Jawahir berkata, graduan tersebut terdiri daripada 13 penuntut Diploma Perbankan Islam, 34 penuntut Diploma Keusahawanan dan 98 penuntut Diploma Pengurusan Logistik & Rantaian Bekalan.
Menurutnya, skrol kepada semua graduan dalam majlis konvokesyen yang diadakan di KSL Hotel & Resort, di sini akan disampaikan oleh Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Mohd. Noor Shahudin.
“Sejak diwujudkan pada 1 April 2011, PMJB telah melahirkan seramai 2,267 graduan. Malah, amat membanggakan apabila hampir 95 peratus penuntut PMJB diterima bekerja selepas bergraduasi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, pada masa ini PMJB menawarkan tiga kursus, iaitu Diploma Kewangan Islam (dahulu dikenali Diploma Perbankan Islam), Diploma Keusahawanan dan Diploma Pe_ngurusan Logistik & Rantaian Bekalan.
Mengenai perancangan masa depan, Dr. Supa’at memaklumkan, pihaknya akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan di PMJB.
“Kita akan meningkatkan standard pengajaran dan pembelajaran dengan mengintegrasikan teknologi TVET dan metodologi inovatif terkini. Selain itu, kita juga akan menyediakan program pendidikan TVET yang relevan dengan keperluan industri dan global,” katanya.
PMJB juga bertekad memperkasakan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi, khususnya dalam bidang-bidang strategik seperti logistik, keusahawanan dan kewangan Islam.
“Kita juga akan meningkatkan kolaborasi dengan pihak industri untuk mengaplikasikan hasıl penyelidikan para pensyarah PMJB.
“Selain itu, PMJB juga akan mempertingkatkan kerjasama dengan industri untuk latihan praktikal, penempatan kerja dan program pendidikan bersepadu serta meningkatkan sumbangan kepada komuniti setempat menerusi inisiatif sosial dan pembangunan ekonomi, terutamanya menerusi program-program pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Seiring dengan perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), PMJB akan meningkatkan penggunaan platform digital dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian termasuk menggunakan Kepintaran Buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapannya. – UTUSAN