Bekas johan qariah Tokoh Maal Hijrah Terengganu

Bekas johan qariah Tokoh Maal Hijrah Terengganu

MASNAH Awang dipilih menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada 1999 diiktiraf sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Masnah Awang, 73, menerima hadiah RM20,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis tersebut.

Ibu tunggal kepada lapan anak itu bukanlah nama asing di Terengganu kerana banyak mengharumkan nama negeri dan negara dalam bidang tilawah al-Quran sejak 1980-an.

Katanya, anugerah yang diterima menguatkan lagi motivasi untuk terus berkongsi ilmu dengan generasi muda agar mendalami al-Quran sebagai panduan menjalani kehidupan.

“Semoga pengiktirafan ini dijadikan inspirasi untuk anak cucu dan murid-murid saya agar terus melakukan yang terbaik dalam pekerjaan dan pelajaran mereka supaya menjadi mukmin profesional dunia serta akhirat,” katanya ketika ditemui.

Ketika ini, beliau bertugas sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk mengajar di Masjid Kampung Rawai, Masjid Alor Limbat, Masjid Jerong Tuan dan Surau Kampung Pasir Tinggi.

Beliau juga berkhidmat sebagai tenaga pengajar bagi kelas al-Quran di Pejabat Agama Daerah Marang dan mengajar taranum di Asrama Darul Falah.

Masnah yang mempunyai 32 cucu dan 10 cicit berkata, penglibatan dalam bidang tilawah ini turut diwarisi oleh cucunya yang dipilih mewakili negeri Terengganu ke Majlis Tilawah al-Quran Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan pada tahun 2007 dan 2008.

Dalam majlis tersebut, Penjara Terbuka Marang menerima anugerah sebagai premis makanan terbaik dengan hadiah kemenangan RM3,000 manakala Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang Al Idrus pula menerima anugerah Tokoh Pempengaruh Islam dan menerima RM3,000.

Selain itu, Masjid As-Salam, Batu Rakit menerima anugerah masjid kerajaan terbaik dengan hadiah RM5,000 manakala Surau Ummul Qura, Kuala Terengganu pula memenangi anugerah surau terbaik dengan hadiah RM4,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN