SEREMBAN: Selepas ditubuhkan pada tahun 2008, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) berterusan memainkan peranannya dalam membangun kepimpinan di semua Institut Pendidikan Tinggi (IPT) sehingga ke hari ini.
Pada tahun ini sahaja iaitu sehingga bulan Jun lalu, sebanyak 43 program telah dilaksanakan oleh AKEPT yang melibatkan
seramai 2,237 orang peserta terdiri dalam kalangan ahli akademik dan pentadbir IPT.
Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon berkata, selepas diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 2006, penubuhan AKEPT adalah berfungsi untuk melatih kepimpinan bagi IPT dan melaksanakan penilaian ketersediaan bakal pemimpin
IPT melalui pemprofilan dan pembinaan kolam bakat.
Akademi itu juga menurutnya, turut membekalkan 10 modul bagi program kepimpinan institusi dan lapan modul program kepimpinan instruksional kepada ahli akademik dan pentadbir IPT selain turut menawarkan modul-modul yang direka khusus untuk keperluan tertentu.
“Tugas AKEPT pada awalnya adalah untuk memperkasakan kepimpinan di semua IPT di Malaysia merangkumi Universiti Awam (UA)
dan swasta dan kini sepanjang menjalani usia 15 tahunnya, fungsi AKEPT makin meluas iaitu turut merangkumi politeknik, kolej
komuniti dan hospital pengajar universiti,” katanya ketika ditemui di Bandar Enstek di sini baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, dalam melaksanakan pemerkasaan kepimpinan tersebut ia melibatkan tugas-tugas tertentu di peringkat AKEPT iaitu melalui Pusat Pengurusan Bakat, Pusat Pembangunan Kepimpinan serta Pusat Penyelidikan Kepimpinan dan Jangkauan Global.
“Ketiga-tiga pusat ini mempunyai aliran dan proses kerja yang akhirnya membawa kepada satu kelompok bakat atau pun
talent pool yang akan menjadi rujukan pihak kementerian dan IPT apabila mereka mencari pemimpin di universiti masing-masing,” katanya lagi.
Harshita Aini menambah, AKEPT selain itu turut berfungsi menyediakan khidmat perundingan dan kepakaran dalam bidang kepimpinan IPT kepada negara serantau selain menyediakan pelbagai wadah untuk perkembangan kendiri dan pembinaan jaringan sosial dan profesional pemimpin IPT.
Sementara itu, ditanya mengenai hala tuju seterusnya, beliau memberitahu, AKEPT mahu dijadikan sebagai pusat rujukan utama bagi kepimpinan terutamanya kepimpinan pendidikan tinggi negara, berkaitan pengurusan bakat kepimpinan dan pemerkasaan kelompok bakat kepimpinan IPT.
“Hasrat kami adalah untuk menjadi rujukan pertama dalam pertimbangan pelantikan seseorang naib canselor dan timbalan naib canselor sesebuah universiti. Bukan hanya itu, AKEPT juga mahu wujudkan pangkalan data untuk mereka yang mampu menjadi pengurusan pertengahan dan melatih pengurus pendidikan tinggi profesional.
“Di universiti memang sudah ada unit sumber manusia dan unit bakat masing-masing tetapi apa yang AKEPT hasratkan adalah supaya sesiapa sahaja yang perlu mengurus bakat di IPT akan datang melalui kursus di sini dan kami akan berikan pensijilan profesional.
“Sudah tentu kami juga mahu memperkukuhkan program-program kepimpinan institusi, instruksional, penyelidikan dan knowledge exchange yang kami tawarkan termasuklah melalui kolaborasi dengan institusi pendidikan tinggi tempatan (awam dan swasta) dan antarabangsa selain memperluaskan fungsi AKEPT sebagai thinking house,” jelasnya lagi.
KARISMA PEMIKIR MADANI
Sesuai dengan fungsinya bagi melatih bakat kepimpinan di IPT,AKEPT kini tampil dengan program KARISMA Pemikir MADANI yang merupakan ilham Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Harshita Aini, program berkenaan adalah bertujuan memberi penerangan dan pendedahan kepada pensyarah muda berkaitan hasrat dan aspirasi Malaysia MADANI selain sebagai platform membicarakan peranan akademik muda dalam pembangunan kualiti pendidikan tinggi negara.
“AKEPT setakat ini yang dilatih ialah mereka yang telah dipilih oleh universiti sebagai middle managers iaitu maknanya yang akan
menjadi dekan, ketua program dan sebagainya dan selalunya mereka ini sudah lama berada di universiti itu.
“Bagaimanapun, Datuk Seri Dr. Zambry melihat kita perlu bermula dengan pensyarah-pensyarah muda iaitu sasarannya pensyarah yang berkhidmat kurang daripada lima tahun.
“Ideanya kita membawa mereka ke sini dan bincangkan aspek-aspek berkaitan aspirasi Malaysia Madani dalam Pendidikan
tinggi. Ini juga sebagai platform permulaan buat mereka untuk selesa menyampaikan pendapat, pandangan tanpa sebarang
prejudis.
“Lebih menarik, dalam slot terakhir program ini, menteri juga akan hadir bagi mendengar sendiri pendapat pensyarah-pensyarah muda ini. Sesi libat urus ini tentunya membuka peluang kepada peserta untuk memberi pandangan dan idea, menyampaikan harapan dan membincangkan isu yang perlu ditangani dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara,” katanya
Beliau memberitahu, Program KARISMA Pemikir MADANI Siri 1 telah diadakan pada 11 Jun lalu dan dihadiri oleh 118 orang pensyarah muda dari semua UA serta mendapat maklum balas yang positif daripada ahli akademik yang hadir.
Kata Harshita Aini lagi, program berkenaan tidak terhenti dengan program satu hari itu sahaja tetapi kumpulan pesertanya akan ditawarkan pula untuk menyertai program-program kepimpinan susulan.
“AKEPT juga akan melaksanakan satu program untuk peserta-peserta ini memilih apakah aspek bidang pemikiran mereka, contohnya ekonomi, perkembangan komuniti ataupun kecerdasan buatan (AI).
“Mereka akan pilih dan kemudian kami akan rangkaikan mereka kepada platform tertentu supaya dapat dikembangkan lagi
aspek pemikiran mereka itu.
“Ia sekali gus menjadikan mereka ini bersedia untuk menjadi rujukan khalayak bagi bidangbidang tertentu selain membantu
universiti memiliki golongan pemikir dan pemimpin untuk masa hadapan, itulah yang kita hasratkan,” katanya lagi. – UTUSAN