YAYASAN Inovasi Malaysia (YIM) memberi tumpuan untuk mengiktiraf bakat, daya kreativiti dan inovasi rakyat tempatan melalui pelbagai program dan inisiatif melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dari peringkat pelajar hingga kumpulan profesional.
Ditubuhkan pada tahun 2008 di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), YIM berusaha mencipta landskap inovasi yang dinamik dalam mengukuhkan ekosistem inovasi negara.
Dalam usaha itu, YIM menyediakan sokongan dan sumber kepada usahawan tempatan serta komuniti kreatif bagi mengembangkan pengaruh inovasi Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Sehingga kini, lebih 7,400 inovator di seluruh negara dibangunkan melalui kolaborasi, penyelidikan dan pembiayaan dengan menyokong penciptaan dan perkembangan idea-idea baharu yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat seterusnya membantu memperkukuhkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Fokus YIM adalah membantu mempercepatkan proses pembangunan inovasi dengan menyediakan sokongan kewangan, latihan dan pendorong kepada individu dan kumpulan yang berkarya dalam bidang inovasi.
PEMBANGUNAN PRODUK, BAKAT
YIM turut memberi tumpuan dalam memberdayakan inovasi sosial melalui Sains, Teknologi, Inovasi dan
Ekonomi (STIE) untuk menukarkan idea-idea menjadi penyelesaian nyata dengan faedah ekonomi dan memperbaiki kehidupan masyarakat secara keseluruhan.
Melalui pembangunan produk, ia melibatkan proses merancang, menguji dan membawa produk baharu ke pasaran, di samping mengupayakan pembangunan bakat untuk mencipta inovasi yang relevan dan berkesan.
Untuk rekod, pada tahun 2023, YIM menyokong dan mendanai 273 projek inovatif yang berjaya mendapatkan pembiayaan sebanyak RM57 juta, serta menubuhkan 15 Ruang Daya Cipta.
Pada masa sama, pihaknya terlibat dalam 894 aktiviti global, termasuk Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2023 dan ASEAN-India Grassroots Innovation Forum (AIGIF) 2023 yang secara tidak langsung memperluaskan jaringan, berkongsi pengetahuan dan memperoleh inspirasi baharu untuk memperkukuhkan lagi usaha-usaha inovatif di Malaysia dan pemangkin utama dalam arena global.
Bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan inovator tempatan, YIM memanfaatkan pelbagai platform dengan 354 hantaran di media sosial, 160 e-poster, 60 video, 22 ucapan dan 15 siaran akhbar demi memperluaskan keterlihatan (visibility) dan kesedaran tentang kepentingan inovasi dalam kalangan masyarakat.
Justeru, pada tahun ini pula, YIM menyasarkan untuk mencapai 20,000 individu secara global, memberdayakan 8,000 inovator dan membina 25 Ruang Daya Cipta dengan agihan dana sebanyak RM4.76 juta.
Ini termasuk mendaftarkan 400 inovator untuk program Pembiayaan MyIS dan menyalurkan dana kepada 220 inovator sosial dan akar umbi dengan melaksanakan siri program jangkauan luar, ceramah inovasi dan kerjasama global untuk menginspirasi dan mendidik individu secara global tentang kekuatan inovasi sekali gus mencipta nilai tambah ekonomi.
RUANG DAYA CIPTA
Ruang Daya Cipta merupakan sebuah hab program pembudayaan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dengan membangunkan prototaip produk inovasi di peringkat pra-pengkomersialan dan mereplika projek inovasi ke komuniti lain.
16 buah RDC yang telahpun dibangunkan setakat ini akan sentiasa menjadi tempat di mana individu dan kumpulan boleh
berkongsi idea dan berkolaborasi untuk mencipta penyelesaian lebih baik bagi cabaran-cabaran semasa.
Antara fasiliti yang disediakan seperti green screen komputer, drone dan ruang pembelajaran.
PEMBIAYAAN MyIS
Pada masa kini, YIM mempunyai dua geran aktif iaitu MyIS Komuniti dan MyIS Akar Umbi. MyIS Komuniti menyediakan pembiayaan dan sokongan untuk projek-projek inovatif yang memenuhi keperluan komuniti, meningkatkan kehidupan dan mempromosikan perpaduan sosial.
MyIS Akar Umbi pula bertujuan menyokong inovator akar umbi dengan menyediakan pembiayaan dan sumber kepada individu atau kumpulan kecil berinovatif yang berpotensi untuk mencipta impak sosial positif.
Program pembiayaan seperti MyIS Komuniti dan MyIS Akar Umbi ini secara khusus mahu membantu komuniti yang terpinggir atau mencipta penyelesaian yang mungkin diabaikan oleh program-program arus perdana.
YIM berharap bahawa pada masa akan datang, lebih banyak geran daripada MOSTI untuk memperluaskan lagi sokongan YIM kepada inovator sosial di seluruh negara.
YIMSTERS
Warga YIMsters merupakan tulang belakang organisasi ini yang lahir daripada kepakaran dalaman YIM dalam mencapai matlamat dan kejayaan melalui bidang kepakaran masing-masing.
Kisah-kisah kejayaan inovator ini adalah bukti komitmen YIMSTERS dalam memberikan sokongan dan membuka pintu kepada peluang-peluang baharu dan perkembangan berterusan.
Melalui kesungguhan mereka dalam mencipta, menyokong dan melaksanakan program-program projek inovatif, para YIMsters tidak hanya mengukuhkan reputasi YIM sebagai `champion’ dalam memacu inovasi di negara ini, tetapi membentuk landskap inovasi Malaysia secara keseluruhan.
INSPIRASI YIM BENTUK EKOSISTEM INOVASI SOSIAL NEGARA
Pelbagai inisiatif dan aktiviti yang ditawarkan YIM, mereka yang berbakat dan berinovatif dapat memperluaskan rangkaian kemahiran, pengetahuan baharu dan membina hubungan dalam komuniti inovasi.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, setiap cabaran yang dihadapi golongan ini perlu dijadikan peluang untuk membangunkan potensi diri masing-masing seterusnya memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
“Visi saya untuk YIM adalah untuk menjadi satu daya pemacu inovasi dan perubahan positif di Malaysia.
“Saya bercita-cita untuk menyaksikan sebuah ekosistem inovasi sosial secara bottom-up dan inklusif di mana kreativiti berkembang, inovasi berjaya dan komuniti mendapat manfaat daripada kuasa transformasi inisiatif akar umbi,” katanya.
Melalui sokongan yang berterusan kepada inovasi tempatan, katanya, YIM mampu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan inovasi dan pembangunan kapasiti dalam kalangan inovator.
Pada masa sama, beliau percaya YIM boleh menjadi punca inspirasi dan sokongan bagi mereka yang berhasrat mencipta perubahan positif dalam masyarakat.
“Saya percaya, pelaksanaan Inovasi Sosial (IS) tentunya akan memberikan perlindungan sosial dari pelbagai aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi menyokong Environmental, Social, and Governance (ESG) dan Sustainable Development Goals (SDG) 2030,” tambahnya. – UTUSAN