WSC 2024 tanda aras prestasi TVET negara peringkat dunia

Worldskills Competition (WSC) 2024 tanda aras prestasi TVET negara peringkat dunia

STEVEN Sim Chee Keong menyempurnakan program Road To Lyon 2024 di Cyberjaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sekali lagi bakal menyertai Worldskills Competition (WSC) 2024, iaitu sebuah pertandingan bagi mengiktiraf bakat kemahiran di peringkat antarabangsa sekali gus membawa nama negara ke satu tahap tinggi di persada dunia khususnya dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Penyertaan kontinjen negara ke WSC kali ke-47 ini akan berlangsung pada 7 hingga 16 September depan di Lyon, Perancis diketuai oleh Chef de Mission, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dengan penyertaan seramai 15 orang peserta, 14 orang pakar dan sembilan orang pegawai pengiring.

Malaysia akan menyertai sebanyak 14 bidang kemahiran antaranya bidang-bidang berteknologi tinggi seperti Robot System Integration, IT Software Solution for Business, Web Technologies, Automobile Technology, Heavy Vehicle Technology dan Digital Construction.

Kontinjen Negara ke WSC Lyon 2024 adalah di bawah kelolaan dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan sembilan bidang kemahiran diuruskan KESUMA, manakala lima lagi bidang kemahiran berkaitan industri pembinaan diuruskan KKR.

Peserta-peserta negara yang dipilih adalah dalam kalangan pelajar institusi TVET dan institusi pengajian tinggi lain iaitu Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan GIATMARA Malaysia.

Turut menyertai ialah Kolej Vokasional, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) dan Sense Perfect International College (SPIC).

Peserta-peserta ini pernah mencapai keputusan cemerlang dalam beberapa pertandingan peringkat dunia lain seperti WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023, WorldSkills ASEAN Singapura 2023, WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2022 dan 2023.

Demi menunjukkan komitmen dan sokongan kerajaan terhadap penyertaan belia negara ke pertandingan kemahiran berprestij ini, program Road to Lyon 2024 diluncurkan Jumaat lalu yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Usaha ini bertujuan meningkatkan prestasi peserta negara di bawah sekretariat bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), KESUMA dan KKR yang diterajui Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Program latihan persediaan intensif dirangka bagi memantapkan peserta dari segi kemahiran teknikal, pengetahuan, jati diri, motivasi, kekuatan mental dan fizikal serta disiplin bagi menghadapi cabaran pertandingan peringkat dunia nanti.

STEVEN Sim yang mewakili Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan majlis peluncuran program Road to Lyon 2024 di Cyberjaya, semalam

Dalam majlis peluncuran itu, Steven berkata, penyertaan dalam pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa sebegini dapat memberi impak dan manfaat besar kepada negara termasuk mengiktiraf tahap kemahiran belia dalam bidang TVET.

“Pada masa sama, ia menjadi penanda aras tahap prestasi TVET negara di peringkat dunia, pemindahan teknologi serta amalan terbaik TVET di persada antarabangsa selain melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir negara bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Cyberjaya yang turut mendapat kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).

Steven berkata, TVET memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga mahir masa hadapan bagi memastikan agenda negara dapat direalisasikan dengan jayanya.

Menurut beliau, kerajaan memberikan fokus berterusan terhadap TVET berdasarkan permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang mempunyai kompetensi seiring dengan peredaran teknologi.

Justeru, beliau melihat bahawa aktiviti pertandingan kemahiran seumpama ini merupakan satu inisiatif penting yang menyokong Teras ke-2 Dasar TVET Negara dalam meningkatkan kualiti latihan dan kemahiran menjurus kepada kemenjadian graduan TVET serta peningkatan kompetensi tenaga pengajar.

Pendedahan kepada standard atau amalan terbaik TVET peringkat antarabangsa yang diperkenalkan melalui pertandingan kemahiran dunia boleh dijadikan penanda aras untuk penambahbaikan kualiti TVET negara secara berterusan dan selari dengan perkembangan teknologi terkini.

“Sepertimana pertandingan-pertandingan sukan lain yang mempunyai matlamatnya tersendiri, saya yakin bahawa pertandingan melibatkan kemahiran industri juga dapat mempromosikan TVET dan memberi imej baik kepada aliran TVET serta menangkis tanggapan TVET sebagai pilihan kedua.

“Pengiktirafan dan penganugerahan yang diberikan kepada pemenang-pemenang pertandingan kemahiran dapat memperkukuhkan imej TVET dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya,” katanya.

Pada majlis itu, Steven turut mengumumkan pemberian insentif khas kerajaan kepada para peserta yang mewakili negara sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan cemerlang di Lyon, Perancis nanti.

Pemenang pingat emas akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM40,000; pingat perak (RM20,000); pingat gangsa (RM10,000), manakala peserta yang mencapai Medallion for Excellence akan menerima RM4,000.

Selain itu, peserta yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan merangkul pingat emas, perak dan gangsa akan turut dianugerahkan pengiktirafan berbentuk pensijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang kemahiran masing-masing.

Dalam pada itu, Steven berkata, persiapan secara holistik menerusi Road To Lyon 2024 ini amat penting dalam menghadapi cabaran pertandingan kemahiran paling berprestij di dunia.

Penyertaan ke pertandingan-pertandingan seumpama ini merupakan peluang amat baik bagi peserta menimba pengalaman dan meningkatkan kesediaan menghadapi pertandingan di Lyon nanti.

Katanya, pihak urus setia akan terus merangka program-program persediaan secara berterusan bagi memperkasakan bakal juara negara ini.

“Program-program yang telah dilaksanakan termasuklah latihan intensif bersama pakar negara, penempatan latihan di industri, penyertaan pertandingan persahabatan peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta program kem motivasi.

“Langkah ini bagi memperlengkapkan peserta dengan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman bagi memastikan dapat beraksi dengan cemerlang semasa WSC Lyon nanti seterusnya meletakkan nama negara pada satu tahap yang boleh dibanggakan di peringkat dunia,” katanya.

Kejayaan belia-belia negara di WSC adalah penting dalam mengangkat profil aliran TVET dan pekerjaan berasaskan kemahiran dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Pada masa sama, ia merupakan inisiatif kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja mahir berprestasi tinggi yang menjadi penanda aras tahap kemahiran tenaga mahir negara sekaligus menjadi cerminan terhadap pelaksanaan TVET di Malaysia. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN