UDA lancar projek Areca Teres Fasa, 100 unit ditawar bagi Fasa 4B

UDA lancar projek Areca Teres Fasa, 100 unit ditawar bagi Fasa 4B

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman (lima dari kanan ) bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan UDA, Zahrin Zakaria (empat dari kiri) menunjukkan rumah teres Areca yang siap dibina pada Majlis Pelancaran Projek Areca Teres, Bandar Uda Utama, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan jualan 100 unit kediaman dua tingkat Areca Teres Fasa 4B yang baharu dilancarkan di Bandar UDA Utama, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan UDA, Zahrin Zakaria berkata, projek itu terletak di kawasan strategik dengan pelbagai kemudahan berjarak kira-kira 10 kilometer, termasuk pusat beli-belah, bank, kawasan rekreasi dan sekolah.

Katanya, lokasi itu juga boleh diakses melalui lima laluan utama dan lebuh raya serta dihubungkan ke destinasi tarikan pelancongan seperti Legoland Malaysia, Puteri Harbour dan laluan ke Singapura.

“Kediaman pegangan bebas ini berkeluasan 20 x 65 dengan saiz binaan 1,518 kaki persegi. Ia menyediakan empat bilik tidur, tiga bilik mandi, anjung untuk dua buah kereta dan ruang teres yang diperluas sepenuhnya mengikut saiz lot dengan harga bermula RM634,086.

“Kediaman Areca Teres Fasa 4B ini sesuai untuk keluarga, terutama pasangan baru berkahwin serta pembeli rumah pertama dan yang mahu menaiktaraf kualiti kehidupan mereka.

“Ia juga dibina bertepatan dengan keperluan semasa yang menawarkan keseimbangan harmoni antara ruang, keselesaan dan kemudahan seiring dengan konsep penjenamaan UDA; LIFE iaitu ‘Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich’,” katanya pada majlis pelancaran projek itu, mewakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman. Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan UDA, Zahrin Zakaria dan Pengurus Pemasaran dan Komunikasi IKEA Tebrau, Khairul Hafiz Suhaimi.

Tambah Zahrin, sempena pelancaran jualan Areca Terea Fasa 4B, pihaknya turut berkolaborasi dengan IKEA Tebrau sebagai rakan strategik.

“Pameran rumah contoh Areca Teres Fasa 4B ini lengkap dengan dekorasi dalaman yang ditaja sepenuhnya IKEA Tebrau,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan projek itu menawarkan keseluruhan 325 unit rumah di mana Fasa 4A berjumlah 172 unit telah siap dibina dan habis dijual, manakala Fasa 4B pula akan dibina sebanyak 153 unit.

“UDA fokus dengan pembangunan hartanah di wilayah selatan Johor dengan beberapa projek sedia ada termasuklah kediaman Pisonia Ville Pakej 3 dan UDA Heights Fasa 1C yang juga terletak di Bandar UDA Utama.

“Selain itu, UDA juga bakal memperkenal dua lagi produk hartanah di Johor iaitu 21 BizHUB iaitu lot komersil kedai dua dan tiga tingkat di lokasi sama serta kediaman Sedili Residensi merangkumi rumah teres satu tingkat di daerah Kota Tinggi,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh berkunjung ke Galeri Jualan UDA Land (South) Sdn. Bhd. atau hubungi talian 07-2374944; 1800-1800-89 dan 011-1722 6120.

Selain itu, boleh juga layari laman web www.udaproperty.com.my; www.uda.com.my; Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN