ISTANBUL (Turkiye): Turkiye akan menjadi pilihan utama Malaysia dalam aspek pertahanan susulan jalinan kerjasama erat yang terjalin antara kedua negara selain ketersediaan republik itu berkongsi kepakaran serta pengetahuan.
Itu reaksi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditanya mengenai adakah Malaysia akan memberikan keutamaan kepada Turkiye khususnya dalam aspek pertahanan termasuk perolehan aset berikutan jalinan kerjasama yang terjalin ketika ini.
“Bukanlah setahun dua kita beli peralatan perang, sudah bertahun-tahun. Dan kita tahu, kadang-kadang orang beli, dia tidak beri semua.
“Tetapi, dengan Turkiye, apa sahaja kita mahu, mereka bersedia berkongsi. Jadi, tentunya itu sesuatu yang sangat menarik bagi Malaysia.
“Apabila kita melalui hubungan ini, kalau betul itu berlaku, maka dia tetap akan menjadi pilihan utama,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini.
Hari ini merupakan hari terakhir lawatan rasmi Mohamed Khaled selama lima hari ke Turkiye sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 12 Disember tahun lepas.
Sepanjang lawatan itu, terdapat beberapa pertemuan dibuat antaranya bersama rakan sejawatnya di Turkiye, Yasar Guler selain bertemu agensi pelaksanaan industri, sekretariat industri pertahanan Turkiye serta syarikat-syarikat ternama pertahanan republik terbabit.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga akan memberi peluang kepada negara lain sekiranya ada teknologi yang tidak dicapai oleh Turkiye.
“Melainkan satu-satu teknologi yang mereka memang tidak capai yang kita tidak ada pilihan dan terpaksa bergantung pada negara lain.
“Jadi, kita letakkan standard di mana kalau Turkiye melepasi standard yang kita tetapkan, kalau kita puas hati, memang apa kita mahu semua dia bagi, jadi bila orang melamar kenapa kita tidak mahu terima,” jelasnya. – UTUSAN