Satu daripada tiga wanita berisiko hadapi masalah terkucil kencing

Satu daripada tiga wanita berisiko hadapi masalah terkucil kencing

DR. Tan Gaik Imm menerangkan secara terperinci bagaimana masalah terkucil berlaku dalam kalangan wanita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah terkucil atau dalam bahasa saintifiknya, stress urinary incontinence (SUI) sering mengganggu wanita terutama
warga emas atau golongan hampir menopaus.

Keadaan ini sering menyebabkan wanita kurang berkeyakinan dan takut untuk melakukan aktiviti luar kerana risau akan terkucil atau terkencing sekali gus mencetuskan kegelisahan.

Mana tidaknya, dengan hanya batuk, bersin dan mengangkat beban berat boleh menyebabkan individu yang mengalami masalah
ini terkencing dan situasi itu tidak boleh dikawal.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi Obstetrik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Tan Gaik Imm berkata, masalah ini lebih mengganggu wanita berbanding lelaki kerana mereka mempunyai
saluran kencing yang lebih pendek.

Bukan itu sahaja, masalah lemah kawalan kencing boleh menimpa setiap jantina tanpa mengira usia tetapi lebih berisiko kepada golongan wanita.

Menurut Gaik Imm, satu daripada tiga wanita akan menghidapi masalah terkucil ini terutama kepada wanita yang sering mengangkat beban berat ataupun mempunyai masalah sembelit.

“Sering mengangkat beban berat menyebabkan otot pelvik semakin lemah kerana tekanan yang berterusan daripada aktivti tersebut,” jelasnya.

SIMPTOM

Mengulas lanjut mengenai simptom SUI, Gaik Imm berkata, wanita yang mempunyai masalah inkontinen tekanan kencing itu akan
mudah terkucil ketika melakukan aktiviti seperti mengubah posisi, bersenam, bangun dari tidur atau bersukan.

“Kadang-kadang ketika penghidap melakukan aktiviti sukan seperti lompat bintang pun boleh terkucil.

“Faktor ini menjadikan mereka tidak berkeyakinan kerana malu untuk bertemu doktor sehingga membiarkan masalah ini
membelenggu mereka bertahun lamanya,” jelasnya.

Katanya, secara umumnya masalah inkontinen tekanan kencing tidak berbahaya kepada wanita yang mengalaminya.

“Namun terdapat masalah pundi kencing yang menunjukkan inkontinen yang boleh menyebabkan jangkitan atau gangguan fungsi buah pinggang.

“Jadi, sebab itu saya sarankan kepada mereka yang mempunyai masalah kerap terkucil ini untuk bertemu dengan doktor dan dapatkan pemeriksaan dan rawatan awal,” menurutnya.

RAWATAN

Bagi merawat masalah ini, kebanyakan pesakit perlu bertindak berani dan tidak malu untuk bertemu doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Gaik Imm berkata, terlalu ramai yang mengambil ringan masalah ini dan malu untuk bertemu doktor bagi mendapatkan
rawatan menjadikan mereka tampil tidak berkeyakinan sehingga menjejaskan aktiviti seharian.

“Bertemu dengan doktor merupakan satu kaedah terbaik dan kebiasaannya senaman untuk menguatkan otot pelvik yang
akan disarankan oleh doktor,” katanya.

Beliau berkata, selalunya kaedah rawatan ini akan melibatkan pakar fisioterapi juga kerana mereka lebih mahir dalam menentukan kawasan otot pelvik mana yang perlu diberi fokus dalam rawatan untuk merawat isu ini.

PENCEGAHAN

Sebagai langkah pencegahan untuk mengelak daripada menghidapi masalah terkucil, Gaik Imm berkata, golongan wanita
terutamanya perlu mengelakkan diri daripada mengangkat benda-benda berat.

“Apabila mengangkat beban berat, tekanan secara berlebihan menyebabkan otot pelvik menjadi lemah,” katanya.

Selain itu, golongan wanita juga diingatkan untuk tidak merokok, kurangkan pengambilan air beralkohol, minuman berkafein
dan sentiasa melakukan senaman kagel bagi menguatkan otot pelvik.

“Kita juga mahu ingatkan wanita untuk sentiasa membuat pembacaan terlebih dahulu berkenaan senaman yang boleh
dilakukan.

“Kerana bukan semua senaman sesuai untuk diamalkan oleh wanita kerana boleh ia menjadi faktor kepada masalah terkucil,”
katanya.

Sementara itu, meraikan ulang tahunnya yang ke-25 pada tahun ini, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) merupakan hospital kuartenari swasta terbesar di Malaysia dengan 724 katil berlesen dan ia juga tersenarai sebagai antara 250 hospital terulung dunia dalam kedudukan Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 baru-baru ini juga dilengkapi dengan 28 Pusat Kecemerlangan yang turut merangkumi Pusat Kesihatan Wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN