Ruang Daya Cipta hab reka cipta, transformasi idea inovatif rakyat

Ruang Daya Cipta hab reka cipta, transformasi idea inovatif rakyat

KEMUDAHAN komputer disediakan antaranya di RDC Pusat Komuniti Desa LayangLayang, Kluang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) berusaha membangunkan keupayaan inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di peringkat komuniti akar umbi demi meningkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan.

Dalam mencapai usaha ini, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) iaitu sebuah organisasi pembangunan inovasi sosial dan inovasi akar umbi di bawah MOSTI bertindak sebagai sebuah platform mencari, membangun dan memadankan dana pembangunan inovasi dengan rangkaian lebih 7,000 inovator di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,  Chang Lih Kang juga menekankan kepentingan inovasi di peringkat akar umbi dalam usaha MOSTI untuk mengarusperdanakan inovasi dalam kalangan masyarakat.

Beliau mengulas mengenai peranan utama yang dimainkan oleh YIM dalam menggalakkan dan membudayakan inovasi akar umbi yang berpotensi untuk dikomersialkan sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat terutamanya kualiti kehidupan golongan B40.

Chang Lih Kang

Pendekatan YIM ini dilaksanakan melalui dua inisiatif iaitu Pembudayaan STIE (sains, teknologi, inovasi dan ekonomi) melalui Ruang Daya Cipta (RDC) dan pembangunan produk dan bakat STIE melalui pendanaan program inovasi sosial.

RDC merupakan sebuah hab reka cipta, teknologi dan inovasi yang menawarkan pembelajaran, latihan dan bantuan teknikal dengan dilengkapi peralatan dan aplikasi teknologi STIE seperti cetakan 3D dan robotik.

Matlamat utamanya adalah perkongsian pengetahuan dan kemahiran serta memberikan pengalaman praktikal kepada peserta melalui kaedah Quintuple Helix iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

RDC memberi peluang kepada masyarakat untuk menggunakan teknologi dan melakukan aktiviti yang kurang dapat diakses sebelum ini seterusnya menjana pendapatan masyarakat setempat berasaskan 10-10 STIE Ecosystem (Subscription Business Match and Sharing/Network Economy).

Sejak diwujudkan pada 2021 hingga tahun ini, sejumlah 16 RDC telah dibangunkan dengan penyertaan 8,500 peserta dan merekodkan 11,500 pengunjung.

Sebanyak 180 modul STIE dibangunkan melalui 28 rakan strategik dan 15 rakan akademia.

Melalui RDC, prototaip produk inovasi akan dibangunkan di peringkat pra-pengkomersialan dan mereplikasi projek inovasi ke komuniti lain. Program ini dijangka dapat meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat melalui aktiviti pengkomersialan.

 

Chang Lih Kang berkata, “sasaran sehingga hujung tahun 2024 pula adalah untuk membangunkan 25 RDC secara keseluruhan bagi memperluaskan jangkauan pihak YIM dan memberikan lebih banyak peluang kepada inovator di seluruh Malaysia dengan sasaran untuk mencapai 20,000 individu secara global, dan memberdayakan 8,000 inovator”.

Fasiliti ini akan menjadi tempat di mana individu dan kumpulan boleh berkongsi idea dan berkolaborasi untuk mencipta penyelesaian yang lebih baik bagi cabaran-cabaran semasa.

Antara fasiliti yang disediakan adalah Makmal Komputer yang mengandugi perisian robotik, Makmal Rekabentuk yang mengetengahkan percetakan 3 dimensi (3D), Sudut Teknologi yang dilengkapi peralatan dron dan visual reality (VR), Sudut Idea yang meliputi ruang diskusi dan juga Studio Digital.

Melalui fasiliti ini, ia dapat membantu dalam membangunkan keupayaan inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia, membawa kepada peningkatan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

RDC memberi peluang kepada masyarakat menggunakan teknologi dan melakukan
aktiviti seterusnya menjana pendapatan komuniti setempat.

Pada masa ini, YIM sedang membangunkan 4 buah RDC baharu selain menaik taraf 3 RDC sedia ada dan 16 RDC yang telah tersedia.

Sejumlah lapan buah lagi fasiliti RDC baharu akan dibangunkan melalui peruntukan Belanjawan 2024.

Tahun ini, sebanyak RM2.76 juta dana diperuntukkan melalui Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS Komuniti) dengan memberi tumpuan kepada memperkasa komuniti tempatan termasuk sokongan untuk projek-projek inovatif yang menangani keperluan komuniti.

Usaha ini secara tidak langsung meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan mempromosikan perpaduan sosial melalui aplikasi teknologi dan inovasi tempatan yang telah dibangunkan dan sedia dilaksanakan secara mampan.

MyIS Komuniti mengetengahkan aplikasi teknologi tempatan yang berinovatif dan akan diserahkan kepada komuniti secara efektif dalam memberikan impak “quick win” dari segi penjanaan pendapatan, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan indeks kegembiraan (happiness index) serta kesan berganda limpahan ekonomi setempat.

Dengan sasaran ini, YIM berharap untuk memperluaskan lagi impak dalam memperkukuhkan ekosistem inovasi negara dan mempercepatkan transformasi idea innovator tempatan menjadi penyelesaian yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.

Selain itu, YIM mempunyai sebuah lagi geran MyIS Akar Umbi bertujuan untuk menyokong inovator akar umbi membangunkan inovasi dengan menyediakan pendanaan kepada individu yang mempunyai idea-idea inovatif berpotensi untuk mencipta impak sosial positif.

Program ini mempertingkatkan usaha pembangunan dan pengkomersialan inovasi akar umbi merangkumi penyediaan peluang pembinaan kapasiti kepada inovator akar umbi tempatan.

Program ini menambah nilai produk inovasi daripada pembangunan prototaip kepada pra-pengkomersialan (TRL 3 – 6) dengan bantuan sokongan dari segi coaching, pembangunan inovasi dan pemasaran.

Program pendanaan seperti MyIS Komuniti dan MyIS Akar Umbi secara khusus menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti yang terpinggir, mencipta penyelesaian yang mungkin diabaikan oleh arus perdana.

Melalui pendekatan ini, YIM berusaha untuk memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang untuk menyumbang dan memanfaatkan daripada kemajuan inovasi.

Dengan memberikan sokongan kepada inovasi yang muncul dari akar umbi, YIM berharap untuk memperbaiki akses kepada pendanaan dan sumber daya, memperluas peluang serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Program-program ini menjadi platform dan membuka peluang bagi inovator untuk memperluas rangkaian kemahiran mereka, memupuk pertumbuhan peribadi dan profesional.

Melalui penyediaan latihan dan sumber daya, YIM memberikan bimbingan kepada inovator untuk mengembangkan kebolehan mereka, meningkatkan kecekapan operasi, dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi dalam mengembangkan idea-idea inovatif sehingga ke peringkat pengkormersialan bagi mencipta impak yang lebih besar dalam masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN