PETALING JAYA: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang diberi mandat dalam menerajui pembangunan industri francais di Malaysia mahu melahirkan ramai usahawan bagi menerajui pertumbuhan industri francais negara.
Ketua Bahagian Pembangunan Francais Pernas, Mazlan Ibrahim berkata, Pernas berperanan dalam mempelopori dan menerajui pertumbuhan industri francais negara.
Beliau berkata, pihaknya mahu melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan francais dengan menawarkan bantuan perniagaan sehingga 70 peratus.
“Kita mencari produk-produk tempatan agar dapat dibangunkan serta mengembangkannya sebagai francais. Jadi ini akan memperbanyakkan lagi pilihan untuk francais di Malaysia.
“Pernas juga menyediakan khidmat nasihat dan skim-skim khas bagi francaisor (pemilik dan pemberi hak) dan francaisi (pemegang francais dan penerima hak) serta mengalu-alukan rakan francais ke Malaysia,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu beliau menghadiri program Temubual Eksklusif Meneroka Potensi Francais Bersama Pernas yang dikendalikan oleh Utusan Online dan disiarkan MMTV pada Khamis lalu.
Pernas adalah sebuah agensi dimiliki oleh Kementerian Kewangan (MOF) di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) serta dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Apa itu francais?
Mengulas perkara tersebut, Mazlan berkata, francais adalah kaedah pemasaran dan pengembangan perniagaan berdasarkan hubungan dua pihak iaitu francaisor dan francaisi.
“Kebanyakan francais yang sudah berjaya akan memberi hak kepada francaisi untuk menjalankan perniagaan dengan menggunakan jenama dan konsep yang dimiliki perniagaan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.
“Perniagaan francais ini akan memberi kelebihan dan manfaat kepada kedua-dua pihak antaranya perluasan produk dan pengembangan perniagaan dengan modal yang mampu milik serta peningkatan dalam pengeluaran kepada francaisor.
“Kelebihan francaisi dalam perniagaan francais ini adalah ia dibantu dengan khidmat sokongan dan bimbingan berterusan daripada francaisor serta struktur perniagaan yang seragam dari segi pengurusan dan kualiti produk,” katanya.
Dalam pada itu, Pernas menyediakan sebanyak enam skim pembiayaan kepada usahawan sebagai usaha untuk meningkatkan lagi industri francais negara.
Antara pembiayaan yang disediakan oleh Pernas adalah Skim Pembiayaan Francaisor, Skim Pembiayaan Francaisor Induk, Skim Pembiayaan Pra-Francais, Skim Pembiayaan BIT (Pra-Francaisor dan Pra-Francaisi); Skim Pembiayaan Francaisi; Skim Pembiayaan BYOB (YOUNITY dan SWEET); Skim Pembiayaan Lisensing (Lisensor dan Lisensi) dan Musa’adah Revolving Credit-
Program Pembangunan Francais
Mazlan berkata, Pernas juga akan menyediakan beberapa program bagi inisiatifnya dalam membangunkan industri francais tempatan.
Katanya, Program Business in Transformation (BIT) akan membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan agar menjadi lebih kompetitif dan sistematik melalui khidmat bimbingan, latihan serta pembiayaan dan dibangunkan ke arah francais.
“Program Be Your Own Boss (BYOB) juga akan melahirkan lebih ramai golongan usahawan khususnya dalam kalangan wanita dan belia sekali gus memupuk minat masyarakat dalam menjadikan keusahawanan francais sebagai kerjaya pilihan utama.
“Pernas juga mewujudkan satu program dikenali Program Pembangunan Francais (xcelerator) untuk membimbing perniagaan yang berpotensi menjadi perniagaan francais.
“Antara jenama francais yang dibimbing oleh Pernas dan telah memperoleh lesen francais adalah Eartheories, Zeve, Zus Coffee, Al-Ikhlas Gadget, MamaCare, JomDim Sum, Ifmal, Achik Printing, BubbleBee, Innohear, QBistro dan banyak lagi yang sedang menyusul,” katanya.
Tambah beliau, sesiapa yang ingin mengetahui lebih berkaitan kriteria kelayakan pemohon dan struktur pembiayaan boleh ke laman rasmi Pernas.
“Layari laman web Pernas di www.pernas.my atau dengan #CariPernas melalui platform media sosial @pernasofficial.
“Pemohon juga boleh kunjungi pejabat Pernas (HQ) di Menara Pernas, Bangsar South City, Kuala Lumpur atau pejabat Pernas Koridor Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagi mengetahui maklumat lebih lanjut boleh berhubung dengan pegawai pembiayaan Pernas, Puan Zira Yusni (018-2486779) dan Encik Najib Hassan Besiri (012-6659857). – UTUSAN