Perak di landasan betul capai Perak Sejahtera 2030

Perak di landasan betul capai Perak Sejahtera 2030

SAARANI Mohamad (depan, tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua PS2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan Negeri Perak memperkenal penambahan tiga agenda baharu kepada Pelan Perak Sejahtera 2030 (PS2030) dalam usaha membawa perubahan positif kepada rakyat dan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia adalah agenda pembangunan sosial, kelestarian alam dan biodiversiti serta agenda pemerkasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, penambahan agenda kepada pelan pembangunan negeri sedia ada itu adalah hasil program Permukiman Pe­mimpin-pemimpin Kerajaan yang dijalankan dua hari bermula 15 Mei lalu.

“Ia menunjukkan pelan tersebut bukan rigid dan jumud tetapi dinamik serta boleh diubah suai, ditambah baik dari masa ke semasa serta mengikut tuntutan masa dan keadaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ke­dua PS2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung, semalam.

Menurut Saarani, berdasarkan pemantauan dan penilaian yang dibuat pelbagai jabatan dan agensi pelaksana, Perak kini berada di landasan betul dalam menjayakan pelan PS2030 khususnya dalam memenuhi kesemua sembilan agenda yang ditetapkan bagi mencapai tiga sasaran iaitu sejahtera politik, sejahtera ekonomi dan sejahtera sosial.

Selaras itu, jelasnya, kerajaan negeri menerbitkan laporan buku prestasi PS2030 tahun kedua setebal 287 muka surat yang memperincikan 234 projek dilaksanakan melalui pemba­ngunan strategik pelan tersebut, semalam.

Malah, kata Saarani, buat pertama kali kerajaan negeri me­lancarkan dashboard PS2030 untuk memantau dan menilai status pelaksanaan setiap projek dan inisiatif yang digariskan dalam pelan berkenaan.

Dalam tempoh dua tahun ini, katanya, kerajaan negeri berusaha mewujudkan kestabilan politik melalui dasar-dasar me­ngutamakan rakyat dan amalan tadbir urus yang baik bagi menarik keyakinan pelabur.

Hasilnya, kata beliau, kerajaan negeri mampu merencana dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi terutama lima projek besar yang diumumkan sebelum ini.

“Pelaksanaan semua projek ini sedang giat dilaksanakan termasuk sinergi yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Memasuki tahun kedua PS2030, pelbagai inisiatif Sejahtera Sosial yang dilaksanakan telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan yang mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri membawa perubahan positif kepada masyarakat,” katanya.

Bagi tahun kedua ini juga, kata beliau, kerajaan negeri le­bih memfokuskan kepada pelaksanaan dan pemantauan kemajuan pelan itu menerusi dua komponen, iaitu petunjuk prestasi utama Perak Sejahtera dan Indeks Kesejahteraan Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN