Pengeluar perlu kongsi kepakaran, wujud manfaat perolehan aset ketenteraan

Pengeluar perlu kongsi kepakaran, wujud manfaat perolehan aset ketenteraan

Mohamed Khaled Nordin (kanan) melihat pesawat yang terdapat di Turkish Aerospace Industries sempena lawatan kerja ke Turkiye di Ankara hari ini. - FAUZI BAHARUDIN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA (Turkiye):  Syarikat pengeluar aset ketenteraan perlu bersedia membangunkan sektor-sektor tertentu khususnya dalam aspek pertahanan sebagai pulangan kepada Malaysia selepas membuat pembelian bersama pihak terbabit.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, itu antara elemen diharapkan kerajaan selepas membuat perolehan aset ketenteraan di mana ia perlu dilengkapi nilai tambah seperti perkongsian kepakaran.

“Ini antara usaha yang kita lakukan, betul kita akan membuat pembelian (aset ketenteraan), tetapi tidak mahu ia berakhir dengan pembelian semata-mata.

“Setiap perolean itu mesti berkait dengan ketersediaan syarikat itu untuk membangunkan sektor tertentu bagi menyumbang kepada industri pertahanan tempatan negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Turkish Aerospace Industries di sini hari ini.

Kunjungan berkenaan ialah bagi meninjau perkembangan perolehan tiga sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) ‘ANKA’.

Ketika ini, perkembangan perolehan aset itu yang dimiliki oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dilaporkan berada pada tahap memuaskan selain mengikut jadual ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, pertemuan bersama Turkish Aerospace turut membincangkan mengenai peranan mereka bagi membangunkan industri pertahanan negara.

Katanya, Turkiye juga menjadi antara negara yang bersedia bekerjasama dengan Malaysia bagi memulakan industri pertahanan tempatan.

“Perkara itu sangat penting berikutan Malaysia perlu membina keupayaan dan kemampuan dalam industri pertahanan seterusnya tidak bergantung secara penuh kepada negara luar.

“Selain itu, jika Malaysia dapat bangunkan dan majukannya, ia turut menjadi antara industri yang boleh memberi pendapatan lebih tinggi kepada rakyat,” jelasnya.

Semalam, Mohamed Khaled tiba di Ankara, bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama lima hari ke republik berkenaan.

Mohamed Khaled dan delegasi Kementerian Pertahanan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ankara Esenboga pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) sebelum disambut Charge d’Affaires Malaysia di Ankara, Clara Soon May Lynn dan Pegawai Pengiring Turkiye, Laksamana Pertama Nilufen Cotuk.

Menerusi lawatan kerja rasmi itu, satu Mesyuarat Malaysia-Turkiye High Level Committee on Defence Cooperation (HLC) juga diadakan buat julung kalinya.

Sesi dua hala antara kedua-dua negara ini akan melibatkan delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia dan Ministry of National Defense Turkiye (MoND).

Untuk hari ini, Mohamed Khaled akan menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan Dengan Kerajaan (G2G) berkenaan Perolehan Produk-Produk Pertahanan serta Perjanjian-Perjanjian Kolaborasi dan Kerjasama melibatkan pemain-pemain industri pertahanan Malaysia dan Turkiye.

Menerusi lawatan kerja rasmi itu, Mohamed Khaled turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Secretariat of Defence Industries (SSB).

SSB merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan Kerajaan Turkiye untuk menguruskan industri pertahanan negara itu selain membekalkan teknologi ketenteraan.

Selain mengadakan lawatan industri ke syarikat pertahanan Turkiye seperti Turkish Aerospace Industries, Mohamed Khaled juga akan bertemu bersama Aselsan selain Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE) serta DESAN Shipyard. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN