KUALA TERENGGANU: Syarikat pengeluar kicap dan sos masakan, Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) mengagihkan lebih 1,000 kilogram (kg) daging korban kepada golongan asnaf di negeri ini, semalam.
Pengurus Pemasaran Mahsuri Dagang, Aida Yusop berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Ikhlas.com, sebuah syarikat berlandaskan produk dan perkhidmatan mengikut syariah Islam di bawah naungan AirAsia.com dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).
Katanya, program yang memasuki tahun keempat penganjuran itu dilaksanakan untuk berkongsi rezeki bersama golongan asnaf di beberapa negeri seluruh negara.
“Mahsuri Dagang dan Ikhlas.com menyumbang dua ekor lembu sado baka Charlois dengan berat hidup sekitar 850kg seekor.
“Kami juga menderma sebanyak 1,200 botol Sos Tiram Mahsuri untuk diagihkan bersama pek daging korban.
“Semoga sumbangan ini dapat menceriakan penerima daging korban terutama golongan asnaf termasuk penduduk di Pulau Redang,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan JPNT dekat Bukit Kecil di sini, semalam.
Beliau dan Ketua Komersil Ikhlas.com, Mohd. Nor Effendi Yahya menyampaikan sumbangan daging korban itu kepada Pengarah JPNT, Jelani Sulong sebelum bergerak ke Pulau Redang untuk agihan kepada asnaf.
Menurut Aida, melalui program itu, pihaknya juga dapat memberi peluang kepada penerima daging korban untuk merasai keenakan produk keluaran Mahsuri Dagang yang sesuai bagi pelbagai jenis masakan.
“Rangkaian produk jenama Mahsuri ada pelbagai jenis sos dan kicap serta mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang terbukti kesuciannya untuk kegunaan semua terutama umat Islam,” katanya.
Katanya, ibadah korban yang dilaksanakan itu bukan sahaja dapat membantu orang ramai dengan pemberian daging korban, malah pembelian lembu dari penternak tempatan diharap membantu industri ternakan penduduk tempatan.
“Alhamdulillah, aktiviti menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban ini berjalan lancar dengan kerjasama warga JPNT,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Nor Effendi berkata, Ikhlas.com adalah jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia.
“Kami menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan termasuk kewajipan agama seperti umrah, korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum syariah,” katanya.
Sementara itu, Jelani berkata, JPNT mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama daripada syarikat swasta dan korporat untuk aktiviti kebajikan kepada orang ramai terutama golongan asnaf. – UTUSAN