Lindungi pekerja di luar waktu kerja

Lindungi pekerja di luar waktu kerja

SELEPAS kejayaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), kerajaan disaran memperkenalkan pula Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK). sebagai perlindungan menyeluruh untuk semua rakyat. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 mula dibahaskan pada hari pertama sidang Parlimen minggu ini, ada satu persoalan penting yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen iaitu melindungi pekerja semasa di luar waktu bekerja.

Perlu diketahui, perlindungan yang diberikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ketika ini hanya merangkumi kemalangan yang berlaku semasa waktu atau kegiatan bekerja yang diklasifikasikan sebagai bencana kerja.

Tahun lalu, sejumlah 63,199 kes ilat dan penakat telah dilaporkan kepada Perkeso. Daripada jumlah itu, 50 peratus atau 31,000 disebabkan kemalangan di jalan raya ataupun di rumah.

Namun, dalam 82,876 kes kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso, hanya 68,220 kes yang diterima sebagai bencana kerja. Selebihnya, iaitu 18 peratus atau 14,000 daripada permohonan tersebut tidak diterima sebagai bencana kerja dan mereka tidak mendapat perlindungan sewajarnya.

Itu sebabnya, apa yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen ada kebenarannya.

“Bayangkan sebenarnya kesemua kes ini bukan bencana kerja, jika ia dapat dibantu dan dilindungi oleh suatu skim perlindungan kemalangan bukan bencana kerja yang menyeluruh setara dengan skim Perkeso yang sedia ada,” katanya.

Skim ini mungkin akan membangkitkan isu beban kewangan, namun trend global dalam pembayaran sistem perlindungan sosial kini sudah berubah, daripada kebergantungan kepada pembiayaan berasaskan cukai kepada skim insurans sosial.

Sebagai contoh, Jerman dan Jepun mempunyai sistem insurans sosial yang melibatkan sumbangan daripada majikan dan pekerja yang membiayai penjagaan kesihatan, pencen dan pengangguran. China dan Indonesia juga sudah mula mengamalkan model ini bagi memastikan sumber pembiayaan yang lebih stabil bagi program sosial di negara masing-masing.

Dr. Kelvin turut mencadangkan, jika kita mahu melindungi pekerja dari hanya waktu bekerja ke 24 jam kepada semua pencarum, kita perlu menambah sumbangan sebanyak 0.75 peratus. Maknanya, jika seorang pekerja yang bergaji RM2,000, sumbangan tambahannya adalah RM15 sahaja.

“Tapi jika berlaku kemalangan di mana-mana sahaja, perlindungan yang diberikan oleh Perkeso sangat menyeluruh. Sama ada faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal. Mereka boleh mendapat pencen RM1,072.50 setiap bulan. Faedah tanggungan, elaun kehadiran tetap, faedah pengebumian, faedah pemulihan, faedah pendidikan dan banyak lagi,” katanya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga sudah berkali-kali menyeru kerajaan supaya segera memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK). Ini sebabnya, Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan mengajukan soalan yang cukup penting kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam sidang Parlimen tersebut.

“Bilakah Perkeso akan melaksanakan skim untuk melindungi pekerja terhadap kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja? Skim ini adalah langkah yang amat penting dan perlu segera dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Jika skim ini diperkenalkan, ia dapat melindungi kira-kira 16.51 juta pekerja di Malaysia, menjadi skim perlindungan yang terbesar di negara ini. Maka, perkenalkanlah segera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN