“Selama 66 tahun, TUDM telah memainkan peranan yang cukup penting dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara. Sepanjang tempoh tersebut, TUDM telah mengatasi pelbagai cabaran dan rintangan, dan muncul sebagai sebuah kuasa udara yang unggul dan disegani di rantau ini. Semoga TUDM dapat terus meningkatkan kesiagaannya demi keamanan dan keharmonian tanah air.”
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Menteri Pertahanan
SELEPAS 66 tahun ditubuhkan pada 2 Jun 1958, kekuatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini terus bergerak setanding perkembangan teknologi dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Mula dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan, beberapa aspek penting menjadi keutamaan angkatan itu ketika ini dalam mengukuhkan keselamatan ruang udara.
Antaranya pengukuhan sistem pertahanan termasuk teknologi radar terkini serta keupayaan aset udara taktikal dan strategik melalui perolehan baharu.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM berkata, strategi Pertahanan Udara TUDM menggariskan tiga inisiatif dengan memperkasakan aplikasi Kuasa Udara iaitu kesan, cegah dan nafi atau detect, deter and deny.
Oleh itu, katanya, beberapa aspek penting kini dalam perancangan TUDM bagi menghadapi era teknologi, selaras dengan tiga inisiatif tersebut.
“TUDM sedang dalam usaha mempertingkatkan kemampuan keupayaan pengawasan dan pengesanan TUDM dengan menerapkan teknologi radar terkini.
“Ini termasuk penggunaan Long Range Air Defence Radar (LR AD Radar) yang dijangka diperoleh secara berperingkat pada Rancangan Malaysia Ke-12
(RMKe-12) dan RMKe-13.
“Keperluan radar berkeupayaan tinggi ini bertujuan mengesan sebarang pesawat yang tidak dikenal pasti yang mungkin cuba merentasi sempadan udara negara kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM berkata, TUDM juga sedang dalam usaha memperbaharui dan memperkuat sistem pertahanan udara dengan perolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana atau Medium Range Air Defence (MERAD).
Selain itu, katanya, dalam usaha bagi memastikan keupayaan pertahanan yang holisitik, TUDM juga sedang dalam usaha memperkukuhkan keupayaan aset udara taktikal dan strategik.
“Ia melalui Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) Fasa 1 dengan perolehan pesawat-pesawat tempur baru seperti perolehan 18 buah pesawat tempur ringan FA-50M yang akan diperoleh secara berperingkat bagi menggantikan pesawat tempur sedia ada seperti pesawat Hawk 108/208 dan MiG-29.
“Selain itu, perolehan dua buah pesawat peronda maritim (MPA) dan tiga buah Unmanned Aerial Systems (UAS) yang dijangka diperoleh dalam RMKe-12 dilihat akan meningkatkan keupayaan TUDM melaksanakan tugas rondaan di kawasan maritim.
“Fasa 1 merupakan pelan asas kritikal kerana pencapaian di fasa ini menentukan kesinambungan perancangan pembangunan Fasa 2 dan Fasa 3 kelak di mana peningkatan keupayaan aset-aset akan berterusan mengikut perancangan,” katanya.
Pada masa sama, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM berkata, TUDM turut memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dengan negara lain terutamanya negara jiran ASEAN melalui Diplomasi Pertahanan melibatkan bidang pertahanan udara, termasuk pertukaran maklumat perisikan dan latihan bersama.
“Diplomasi Pertahanan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan keupayaan bekerjasama terhadap sebarang ancaman di kawasan maritim atau perkara-perkara yang boleh menggugat kepentingan bersama terutamanya melibatkan kawasan serantau,” katanya.
Berhubung cabaran TUDM, beliau berkata, cabaran paling utama sepanjang 66 tahun ini adalah mengekalkan tahap kesiagaan aset dan logistik bagi membolehkan TUDM mampu membentuk ketumbukan yang mampu membantu ATM menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
Katanya, ini kerana aset-aset yang sedia ada dilihat amat terhad dengan keadaan geografi wilayah negara yang luas.
“Sempena sambutan tahun ini, adalah menjadi harapan agar TUDM dapat terus memainkan peranan sejajar dengan ciri-ciri pasukan masa hadapan seperti yang telah dirancang dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Pelan Strategik CAP 55.
“Secara tidak langsung, strategi ini membolehkan TUDM mengoptimumkan keupayaannya untuk memenuhi jangkaan negara dan bertindak balas dengan berkesan kepada persekitaran strategik masa kini dan masa hadapan.
“TUDM juga berharap dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada agar dasar strategik dan rancangan pembangunan dapat direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM berkata, TUDM juga melaksanakan tugas sekunder selain menjalankan tugas utama menjaga kedaulatan ruang udara negara.
“Antara aktiviti kerjasama awam – tentera (CIMIC) yang telah dilaksanakan adalah penerbangan ihsan, penghantaran bekalan dan bantuan kemanusiaan sekiranya diperlukan ke kawasan dilanda bencana.
“Aktiviti CIMIC juga dilaksanakan semasa eksesais bilateral bersama negara luar di mana aktiviti tersebut dimasukkan sebagai salah satu program eksesais bersama.
“Aktiviti-aktiviti tersebut dilaksanakan di rumah ibadat, rumah anak-anak yatim dan asnaf, rumah kebajikan orang-orang tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya. – UTUSAN