TELUK INTAN: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak merangka pelbagai program bagi mempopularkan pelbagai tradisi dan adat masyarakat di negeri ini supaya terkenal di mata dunia.
Pengarahnya, Abd. Rashid Abdullah berkata, Perak sememangnya terkenal dengan kepelbagaian tradisi dan adat seperti masyarakat Jawa, Kerinchi, Rawa (Rao’), Banjar, Mandailing, Bawean@Boyan serta Orang Asli yang berdiri pada kelas tersendiri untuk menjadi tatapan rakyat negara ini serta pelancong antarabangsa.
“Sebagai contoh, pasti ramai tidak mengetahui masyarakat Rawa masih mengamalkan tradisi ‘adat berjojak’ sehingga sekarang yang menjadi identiti mereka dan uniknya ia tidak terdapat pada kaum lain.
“Dipercayai mereka mengamalkan adat itu untuk menyambut bayi baru lahir sebagai tanda kesyukuran dan semoga terus dalam keadaan sihat dan penyeri kepada keluarga,” katanya pada Temasya Budaya Negeri Perak 2024 di Kompleks Menara Condong di sini.
Biasanya, adat itu dijalankan pada waktu pagi sahaja iaitu ketika fajar menyinsing sehingga matahari naik, lazimnya sekitar pukul 9 hingga 10 pagi.
Katanya lagi, adat `berjojak’ itu dikatakan berasal daripada masyarakat Rawa di Pagar Ruyung dan secara tradisi diteruskan keturunannya yang berhijrah ke negara ini terutama di Gopeng.
Dalam pada itu, Abd Rashid berkata, JKKN Perak turut merangka strategi mempromosikan adat dan resam kaum Orang Asli di negeri ini supaya menjadi tatapan generasi akan datang.
“Orang Asli memiliki karya seni, kraftangan, adat resam, pantang larang yang masih dipelihara dan diamalkan sehingga sekarang walaupun negara telah 66 tahun merdeka dan pesat membangun dengan arus kemodenan.
“Mereka ialah masyarakat eksklusif yang berpegang teguh kepada budaya, adat dan kepercayaan untuk diturunkan kepada generasi yang akan datang.
“Keunikan itu mampu mempelbagaikan tarikan pelancongan di negeri ini lagi-lagi semasa Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 yang sedang berlangsung,” katanya. – UTUSAN