Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif

Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan masyarakat progresif yang terkandung dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, maka Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah merangka inisiatif untuk memperkasakan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) secara inklusif sebagai penggerak komuniti progresif.

Justeru, bagi menterjemahkan inisiatif ini, KPN telah membangunkan Kerangka dan Pelan Tindakan Pemerkasaan RT yang telah dilancarkan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara pada 14 Mei 2024 yang lalu.

Langkah ini juga adalah sejajar dengan misi Kementerian agar KRT yang telah mencapai 50 tahun penubuhannya dapat mengorak langkah yang lebih terkehadapan dan efektif dalam memayungi program-program keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian yang berimpak tinggi kepada komuniti setempat.

Mengapa Pemerkasaan Rukun Tetangga Penting?

KRT yang ditubuhkan pada tahun 1975, telah mengalami banyak transformasi dari segi fungsi dan peranannya selaras dengan isu, cabaran dan keperluan semasa di peringkat komuniti dan negara.

Bagi mendokong hasrat Kerajaan untuk membangunkan masyarakat MADANI, maka peranan KRT sebagai penggerak dan pengantara penting dalam komuniti memerlukan lonjakan transformasi melalui landskap yang dipacu oleh komuniti sendiri melalui konsep “Daripada Komuniti Kepada Komuniti”.

Lonjakan peranan ini adalah sangat penting untuk merealisasikan agenda Kerajaan ke arah memperkukuhkan keselamatan, kesejahteraan, inklusiviti dan kemampanan komuniti.

Pelan Tindakan Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif

Pelan Tindakan RT Progresif merangkumi konsep dan sembilan (9) strategi pelaksanaan, pemboleh daya (enablers), rakan strategik dan lapan (8) bidang tumpuan membangun komuniti progresif iaitu:

  • Ekonomi dan Sara Hidup
  • Keselamatan dan Ketahanan Komuniti
  • Kepimpinan
  • Kesejahteraan Komuniti
  • Pembelajaran Sepanjang Hayat
  • Alam Sekitar
  • Warisan dan Budaya
  • Daya Cipta

Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,438 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara. Justeru, pada tahun 2024, KPN menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 116 KRT akan diperkasakan sebagai Model KRT Progresif yang menjadi rujukan, penanda aras dan sumber inspirasi kepada komuniti-komuniti lain di Malaysia.

Bagi tujuan tersebut, pemerkasaan atau pendayaupayaan 116 KRT ini akan dilaksanakan melalui beberapa proses seperti berikut:

  • Pengenalpastian KRT berpotensi (aktif, cemerlang dan berdaya saing)
  • Penyediaan Profil KRT
  • Pengklusteran KRT mengikut lapan (8) bidang tumpuan
  • Pemetaan Sosial (social mapping)
  • Pengupayaan Komuniti
  • Pemantauan dan Penilaian
  • Kajian Impak

Impak Pelaksanaan Inisiatif RT Progresif

Ekonomi dan Sara Hidup:

Memperkukuhkan agenda ekonomi dan kesejahteraan hidup komuniti melalui pelaksanaan aktiviti yang berteraskan ekonomi. Dengan bantuan dalam bentuk kewangan, teknikal, peralatan, latihan dan bimbingan yang diberikan oleh Kementerian serta pelbagai pihak yang lain, dapat membantu komuniti menjana dan meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti akan meningkat dan membantu mengurangkan kos sara hidup yang tinggi.

Meningkatkan Keselamatan Komuniti:

Peningkatan tahap rasa selamat dalam kalangan komuniti dengan adanya aktiviti kawalan dan rondaan keselamatan oleh anggota SRS. Pemerkasaan SRS juga akan dapat meningkatkan keaktifan dan keberkesanan peranan SRS serta memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan komuniti untuk menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing.

Kepimpinan dan Pembangunan Kapisiti:

Pemerkasaan kepimpinan jawatankuasa RT yang lebih efisien dan dinamik dapat meningkatkan kecemerlangan RT dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti. Kepimpinan yang cekap dan tata kelola yang terbaik juga dapat menjadikan RT sebagai organisasi yang berdaya maju dan berdaya saing.

Di samping itu, rogram latihan diberikan kepada komuniti KRT untuk meningkatkan kemahiran dalam kepimpinan, pengurusan, dan komunikasi. Latihan ini membantu mereka untuk lebih efektif dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Kesejahteraan Komuniti:

Pemerkasaan peranan KRT dalam komuniti akan dapat meningkatkan lagi kesejahteraan, kualiti hidup dan kemampanan komuniti serta memupuk semangat kejiranan.

Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh KRT yang merangkumi aspek kebajikan, keselamatan, kesihatan, kebersihan, pendidikan, keagamaan, sosio-ekonomi dan kebudayaan perayaan dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Ini penting dalam memperkukuhkan kehidupan bermasyarakat melalui nilai-nilai kasih sayang, bekerjasama, hormat menghormati, prihatin dan bersatu padu.

Pembelajaran Sepanjang Hayat:

Peningkatan pengetahuan dan Kemahiran yang diperlukan oleh kelompok-kelompok komuniti melalui bidang tumpuan pembelajaran sepanjang hayat yang dapat membantu komuniti menjana pendapatan, meningkatkan kualiti dan meneruskan kelangsungan hidup.

Alam Sekitar:

Peningkatan kebersihan, keindahan, keceriaan dan keselesaan kawasan kejiranan serta memperkukuhkan tanggungjawab bersama komuniti dalam penjagaan kawasan kejiranan masing-masing.

Warisan dan Budaya:

Menyemarak dan memperkukuhkan semangat jati diri, kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan komuniti.

Daya Cipta:

Meningkatkan pembudayaan daya kreativiti dan inovasi dalam komuniti.

Kerjasama dengan Agensi Luar:

Melalui inisiaitf ini, dapat memperkukuhkan kerjasama antara KRT dengan pelbagai pihak seperti Kementerian, agensi, NGO dan swasta untuk menganjurkan lepbagai program dan aktiviti untuk membangunkan komuniti yang progresif.

Penutup

Pemerkasaan Rukun Tetangga sebagai penggerak komuniti progresif merupakan suatu inisiatif untuk memperkukuhkan lagi peranan KRT sebagai jentera perpaduan di peringkat komuniti dalam Pembangunan Masyarakat progresif. Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan penglibatan aktif daripada komuniti, KRT mampu menjadi agen perubahan sosial yang efektif yang mampu membantu Kerajaan dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian dalam komuniti.

Marilah kita bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif Rukun Tetangga untuk membina sebuah komuniti yang progresif dan harmoni demi masa depan yang lebih baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN