Hidup normal bersama virus Covid-19: Menempuh fasa baharu dalam kehidupan seharian

Hidup normal bersama virus Covid-19: Menempuh fasa baharu dalam kehidupan seharian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sejak akhir 2019 telah mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian. Dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan, kita belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Contohnya, ramai di antara kita yang bekerja dari rumah (work from home), menggunakan mesyuarat maya (virtual meetings) untuk berhubung dengan rakan sekerja dan pelanggan, serta mengikuti kelas digital (digital classrooms) untuk meneruskan pembelajaran.

Kini, kita berada di fasa “living with the virus” atau hidup bersama virus. Ini bermakna kita kembali kepada kehidupan yang lebih normal, tetapi dengan kesedaran dan langkah berjaga-jaga yang berterusan.

Tamat Pandemik, Bermula Fasa Baharu

Walaupun kita sudah tamat soal pandemik dan segala SOP yang ketat, ini bukan bermakna kita boleh bersikap sambil lewa. Kita mengambil sikap untuk memulakan fasa hidup bersama virus dengan penuh tanggungjawab. Kehidupan kembali seperti biasa, tetapi kita masih perlu berwaspada.

Batuk atau bergejala? Pergi ke doktor! Ini adalah nasihat yang sering kali diulang, dan ia masih relevan. Jika kita mengalami gejala seperti batuk atau demam, langkah pertama yang perlu diambil ialah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Kesedaran mengenai kesihatan diri dan tanggungjawab untuk tidak menyebarkan virus kepada orang lain adalah penting.

Dalam keadaan sesak, pelitup muka masih merupakan alat penting untuk melindungi diri dan orang lain. Penggunaan cecair pembasmi kuman juga sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian kita. Ini adalah langkah-langkah mudah yang boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan.

Normalisasi dengan Pemantauan

Orang awam disarankan untuk sentiasa membuat pemantauan terhadap keadaan kesihatan mereka dan mendapatkan maklumat terkini melalui data.moh.gov.my. Ini penting untuk memastikan kita sentiasa peka dengan situasi semasa.

Dalam keadaan dunia berdepan dengan pelbagai virus, sama ada yang muncul semula atau baharu, tiada siapa boleh mengambil mudah. Jika kita tidak berhati-hati, negara berkemungkinan kembali kepada suasana pandemik COVID-19 seperti sebelum ini. Ini adalah satu situasi yang tidak diingini kerana kesannya bukan sahaja kepada kesihatan tetapi juga ekonomi.

Kesedaran dan Langkah-langkah Berjaga-jaga

Susah juga jika terkena penyakit berjangkit seperti COVID-19. Bukan sahaja ia menyukarkan kita mencari rezeki dan pergi bekerja, tetapi juga menimbulkan kebimbangan akan penyebaran kepada orang lain, terutama anak-anak kecil yang tidak dapat pergi ke sekolah dan takut juga jika mereka berjangkit kepada rakan-rakan sekolah atau cikgu.

  • Vaksinasi – Salah satu langkah paling penting dalam hidup bersama virus ini ialah vaksinasi. Vaksinasi adalah langkah pencegahan, strategi kesihatan awam asas untuk mencegah krisis kesihatan. Keselamatan dan keberkesanan vaksin terbukti dalam kelangsungan hidup dan kesihatan generasi, seperti kita yang divaksin terhadap penyakit berjangkit zaman kanak-kanak seperti campak, batuk kokol, dan difteria semasa kita masih kecil. Jika ada sebarang keraguan, rujuklah kepada doktor.

  • Rawatan – Kita perlulah tetap berhati-hati dengan jangkitan COVID-19. Jika ada gejala, teruslah dapatkan rawatan. Ini bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri tetapi juga untuk melindungi orang lain, terutama mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan masalah kesihatan.

Bersama-sama Menempuh Fasa Baharu

Dalam menempuh fasa baharu ini, kita perlu sentiasa ingat bahawa tanggungjawab menjaga kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan sentiasa peka dengan keadaan kesihatan kita, kita boleh hidup bersama virus COVID-19 dengan lebih selamat dan tenang.

Kita perlu mengambil iktibar dari pengalaman pandemik yang lalu dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti memegang tanggungjawab untuk melindungi satu sama lain, memastikan kemajuan kita bersama tidak terjejas oleh sikap leka.

Dengan adanya vaksinasi, rawatan yang berkesan, dan sikap yang bertanggungjawab, kita mampu menempuh fasa baharu ini dengan lebih yakin. Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan semangat yang positif dan penuh keyakinan, memastikan kita sentiasa bersedia dan berwaspada dalam menghadapi sebarang cabaran kesihatan yang mendatang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN