KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil inisiatif mempersiapsiagakan graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersifat kalis masa hadapan selain mampu beradaptasi, melalui agenda pendigitalan pengajaran dan pembelajarannya (PdP).
Ia merupakan agenda digitalisasi TVET yang merangkumi pengadaptasian teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), blok rantai (blockchain), realiti terimbuh atau augmented reality (AR), perkomputeran awan, analisis data raya dan sebagainya.
Langkah pelaksanaan agenda tersebut dirancang sebagai inisiatif untuk memastikan sektor pendidikan tinggi negara tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital dan bergerak selari dengan hala tuju strategik negara-negara maju.
Ini kerana, penggunaan teknologi digital juga memberi fleksibiliti kepada pensyarah dan pelajar dalam melaksanakan proses PdP dan ia mampu menarik minat dan memberi keseronokan kepada pelajar yang merupakan generasi Z melalui penggunaan bahan pembelajaran imersif seperti AR, realiti maya (VR) dan metaverse.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dalam tempoh perubahan ini, KPT sedang melaksanakan kajian menyeluruh berkaitan ekosistem pendigitalan pendidikan tinggi bagi memperkemas Dasar dan Pelan Tindakan Pendigitalan Pendidikan Tinggi yang komprehensif.
“Kajian itu akan mengambil kira status semasa sektor pendidikan tinggi, cabaran dan isu-isu yang perlu diatasi agar adaptasi pendidikan tinggi negara terus relevan dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (4th Industrial Revolution (IR).
“Ia akan meneliti keperluan dan peranan yang perlu dimainkan oleh KPT dalam memastikan kejayaan dasar-dasar transformasi pendigitalan peringkat nasional, yang ketika ini amat menekankan kepada pendigitalan sebagai sumber pertumbuhan baharu ekonomi,” katanya.
KPT melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melancarkan Pelan POLI DIGITAL pada tahun 2023 yang juga merupakan salah satu agenda Transformasi Politeknik 2023-2035. Pelan ini memberi fokus kepada pemantapan pendigitalan pendidikan dan ketersedian teknologi baharu dalam ekosistem pembelajaran dan pengajaran (PdP) TVET di Politeknik dan Kolej komuniti.
Antaranya melalui pendekatan pembelajaran teradun menggunakan bahan pembelajaran imersif seperti VR-Virtual Reality, AR-Augmented Reality dan Metaverse. Pada masa ini, 30% pengajaran dan pembelajaran (PdP) 500 kursus yang melibatkan pendekatan praktikal di Politeknik telah dilaksanakan secara digital manakala bagi kursus secara teori pula menggunakan Learning Management System (LMS) yang dikenali sebagai CIDOS 4.0.
Bagi Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia atau MTUN pula, melalui halatuju MTUN TVET Termaju 2030, strategi menghasilkan 150,000 tenaga kerja TVET termaju tersedia industri yang adaptif kepada perubahan teknologi disokong dengan pelbagai inisiatif dan strategi berkenaan Digital Skills.
“Ia merangkumi pembangunan kurikulum berasaskan digital, peningkatan kemudahan infrastruktur digital, penggunaan teknologi pembelajaran terkini, program Latihan dan pembangunan profesional serta kerjasama dengan industri.
“Selain itu, ia turut merangkumi penubuhan pusat kecemerlangan digital, pelaksanaan program TVET berasaskan digital, pembelajaran sepanjang hayat dan kursus jangka pendek dan pembangunan modul pembelajaran digital,” jelasnya.
Tambahnya, pendekatan dan peralihan itu mengambil contoh amalan terbaik daripada negara-negara maju di Eropah dan Asia dalam strategi pendigitalan mereka menerusi pelbagai aspek termasuk pentadbiran dan pendidikan.
“Teknologi yang digunakan oleh negara-negara ini dalam aspek tadbir urus, kecemerlangan akademik, pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi boleh diadaptasi dan disesuaikan dengan konteks negara kita agar pendigitalan dapat memacu kemajuan pendidikan tinggi negara,” ujarnya.
Terdapat hampir 3,000 bahan pembelajaran digital yang boleh digunakan oleh pensyarah dan pelajar POLYCC meliputi Video Pembelajaran, AR, VR dan Metaverse yang ditempatkan di saluran eduTV@ POLYCC dan Repositori Digital Shoutstore.
Kata Zambry lagi, dengan pemahaman tentang tren dan keperluan industri, KPT memastikan institusi TVET merancang dan melaksanakan penambahbaikan berterusan kepada kurikulum dengan memberi penekanan kepada kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknologi digital.
“Ini termasuk memberi penekanan khusus dalam program-program yang membolehkan pelajar memilih kursus yang berkaitan dengan teknologi digital di samping mengintegrasi kursus TVET sedia ada dengan kemahiran teknologi digital,” katanya.
Institusi seperti POLYCC telah bekerjasama dengan rakan strategik industri dalam menyokong penggunaan teknologi digital seperti pelaksanaan Micro Credential MY5G Ericsson dalam bidang 5G bersama Digital Nasional Berhad kepada pelajar POLYCC.
Hampir 5,000 pelajar POLYCC memiliki badge dalam bidang 5G yang memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran pelajar selepas bergraduan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail memberitahu, bidang TVET mempunyai fleksibiliti yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat melalui dasar TVET For All di bawah politeknik dan kolej komuniti.
“Ia adalah konsep baharu yang diperkenalkan kepada semua lapisan masyarakat tak kira umur, agama dan bangsa di seluruh Malaysia diberi peluang dan pilihan untuk melanjutkan pengajian masing-masing.
“Kita mengira jumlah kredit yang mereka ikut, yang mana satu saya sebut istimewa TVET For All adalah terbuka kepada semua. Kedua, tidak mengambil kira latar belakang pendidikan daripada bidang apa sekalipun mereka diberi peluang,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi MTUN, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin memberitahu, pihaknya memainkan peranan dalam mengantarabangsakan MTUN.
“Agenda utama yang memang kita usaha sungguh-sungguh adalah kebolehpasaran TVET dengan bergaji premium, itu memang menjadi agenda MTUN, sehingga 2030 kami ada pelan yang dilancarkan pada hari ini (11 Jun).
“Agendanya adalah peluasan kemasukan siswa TVET MTUN seramai 150,000 orang yang mana untuk pengetahuan semua MTUN adalah TVET termaju menggunakan teknologi tinggi, terkehadapan dan melahirkan graduan berkemahiran tinggi,” ujarnya. – UTUSAN