Bantuan Budi Madani RM200 bantu kurang beban peniaga

Bantuan Budi Madani RM200 bantu kurang beban peniaga

BANTUAN Budi Madani RM200 mungkin sedikit tetapi membantu meringankan beban peniaga yang menerimanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pembekal ayam segar di Puncak Alam berkata, bantuan RM200 menerusi Budi Madani yang diterimanya dapat meringankan beban operasi perniagaan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak 10 Jun lalu.

Menurut Saiful Ahmad, 55, selain ‘bahan mentah’ kos terbesar yang perlu ditanggung dalam perniagaan adalah pembelian diesel untuk menggerakkan trak pikap bagi mengambil bekalan dan membuat penghantaran.

“Memanglah ada orang kata RM200 itu sikit tetapi saya faham ia diberi untuk menampung tambahan bayaran apabila diesel naik.

“Ia bukan bermaksud untuk bayar semua kos tetapi ramai mungkin salah anggap,” katanya ketika ditemui.

Mulai 10 Jun lalu, harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif Budi Madani bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.

Pendaftaran bagi Budi Madani dibuka pada 28 Mei lalu dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.

Selain Budi Madani, kerajaan turut mengurangkan beban dengan meneruskan bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chai Kok Lim berkata sehingga kini kira-kira 200 daripada 800 ahlinya telah menikmati bantuan wang tunai RM200 itu.

Sama seperti Saiful, Kok Lim berkata, inisiatif itu membantu mereka menyerap kos dan meneruskan operasi untuk mengeluarkan hasil pertanian.

“Ada ahli kami masih menunggu kelulusan, namun ada juga ditolak kerana tidak cukup syarat kerana jualan melebihi RM300,000 seperti disyaratkan…kami telah minta syarat dilonggarkan untuk syarikat catat jualan lebih RM1 juta.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yi dalam lawatannya baru-baru ini, kami mengharapkan keterbukaan kerajaan untuk mendengar rayuan kami bagi memperbaiki dasar berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN