KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meraikan kecemerlangan perkhidmatan kakitangannya menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.
Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, pihaknya telah mewujudkan anugerah khas baharu iaitu Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) dan 63 kakitangan diberikan anugerah itu.
Menurut beliau, anugerah itu merupakan simbolik penghargaan atas kesetiaan pegawai yang telah berkhidmat selama 25 tahun serta menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang.
“Seramai 92 pegawai menerima APC dan 229 lagi kakitangan menerima Sijil Penghargaan Perkhidmatan.
“Kecemerlangan MAIWP bermula daripada kakitangan kumpulan pelaksana yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan sesuatu aktiviti mahupun program,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Penerima APC menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai berjumlah RM1,000 manakala penerima Sijil Penghargaan pula menerima sijil dan wang tunai sebanyak RM500.
Selain itu, penerima APS turut menerima sijil dan wang tunai berjumlah RM2,500 bagi setiap seorang.
Mengulas mengenai cadangan penambahbaikan perkhidmatan, Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) bagi bidang atau bahagian tertentu supaya proses pekerjaan menjadi lebih teratur dan efisien.
Katanya, hal ini akan meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terutama para pembayar zakat terhadap perkhidmatan MAIWP.
“Warga MAIWP akan terus ke hadapan dalam menyantuni asnaf dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berlandaskan Pelan Al-Falah dan Dasar Malaysia MADANI yang digariskan,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penganugerahan yang diberikan bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu yang menerimanya.
Malah, katanya, ia turut menunjukkan semangat kerjasama untuk mencapai matlamat yang lebih besar dalam menggerakkan agenda utama MAIWP.
“Pengiktirafan ini secara tidak langsung memupuk kembali motivasi pegawai yang telah lama berkhidmat untuk terus kekal bersama MAIWP dan memberikan perkhidmatan terbaik.
“Semoga semangat kecemerlangan ini terus menyala di hati setiap individu untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi dan keikhlasan terhadap agama, masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima APS, Rohaya Sulong tidak menafikan kegembiraan dan kesyukuran yang dirasai apabila diberikan pengiktirafan sebagai tanda penghargaan sepanjang 27 tahun perkhidmatannya.
Katanya, penghargaan itu mendorongnya untuk terus memberikan yang terbaik bagi menjamin kejayaan dan kemajuan organisasi.
“Di sini bermulanya kerjaya saya. Dengan bermula sebagai pekerja kontrak sehingga diberikan kepercayaan menjawat jawatan tetap di MAIWP adalah suatu perkara yang paling saya banggakan.
“Sejak 1996, saya setia bersama MAIWP kerana saya percaya ia akan terus berkembang dengan lebih luas sehingga ke peringkat global,” ujarnya. – UTUSAN