KANGAR: Di sebalik perwatakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang serius dan tegas baginda sebenarnya seorang yang sangat mengutamakan rakyat dalam setiap aspek demi memastikan kesejahteraan hidup mereka.
Berkongsi perkara itu, kenalan rapat baginda yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahri, 72, berkata, Tuanku Syed Sirajuddin juga sebelum ini pernah menegur ahli-ahli politik agar mengutamakan kepentingan rakyat.
Selain itu, menurut beliau, baginda seorang pemurah dan pernah secara diam menyerahkan sejumlah wang kepada seorang rakannya untuk diagihkan kepada rakyat susah tanpa sesiapa pun mengetahui.
“Di sebalik perwatakan yang kelihatan tegas, baginda juga suka bergurau serta sangat mengutamakan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, berkongsi pengalaman bersama baginda, Hamdan berkata, beliau berkenalan dengan Tuanku Syed Sirajuddin sekitar 2010 apabila mendapat peluang bermain golf bersama pasukan baginda di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat di sini.
Bertitik tolak dari situ, Hamdan berkata, hubungan beliau bersama baginda semakin rapat khususnya selepas dilantik sebagai Speaker DUN pada 2013.
“Selepas dilantik, saya kerap mengiringi baginda ke Kuala Lumpur, Thailand, Brunei dan pelbagai tempat lagi sehinggalah hubungan kami menjadi semakin rapat,” katanya.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, hubungan istimewanya bersama Tuanku Syed Sirajuddin semakin erat apabila sentiasa menjadi pendengar setia kepada baginda dan sering ‘meminjam’ telinga untuk mendengar cerita berhubung sesuatu isu mahupun apa-apa perkara khususnya berkaitan kepentingan rakyat.
MANFAAT
“Tuanku Syed Sirajuddin merupakan seorang ketua negeri yang sangat berpandangan jauh dan memikirkan pembangunan negeri ini untuk memberi manfaat buat seluruh rakyat.
“Baginda sememangnya sentiasa berfikir jauh ke depan dan banyak membaca bagi mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan negeri ini,” katanya.
Di samping itu, mengulas mengenai hobi baginda, Hamdan berkata, Tuanku Syed Sirajuddin juga amat meminati sukan golf dan sering berkunjung ke Kelab Golf Putra di sini untuk bertemu rakan mahupun kenalan.
Katanya, baginda juga amat meminati lagu nyanyian Hetty Koes Endang, Hati Lebur Jadi Debu dan Rod Stewerd, Have You Ever Seen The Rain.
“Tuanku juga amat menggemari makanan tradisi dan antara yang disukai baginda adalah halwa maskat,” katanya.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-81, beliau berharap agar Tuanku Syed Sirajuddin sentiasa diberi kesihatan yang baik bagi memimpin negeri ini.
“Saya ambil peluang untuk ucapkan Dirgahayu Tuanku untuk ulang tahun ke-81 dan sebagaimana tuanku sayang kepada rakyat, begitu juga kasih rakyat kepada tuanku,” katanya. – UTUSAN