Peserta ICW, BuildXpo 2024 lebih ramai, jualan diunjur RM1 bilion

Peserta ICW, BuildXpo 2024 lebih ramai, jualan diunjur RM1 bilion

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) bersama Mohd. Zaid Zakaria (dua kanan) melakukan gimik pra pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2024 di MITEC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) pada tahun ini mengunjurkan jualan mencecah RM1 bilion.

Unjuran itu berdasarkan penyertaan yang ditingkatkan dua kali ganda berbanding tahun lalu daripada pelbagai pasaran antarabangsa.

Penyertaan tersebut termasuk dari negara China, Thailand, Indonesia, Singapura, Rusia, Zambia, Zimbabwe, Korea, Jepun dan India.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, ICW merupakan antara platform penting dan mempunyai potensi untuk merevolusikan kaedah pembinaan, amalan kelestarian dan piawaian keselamatan.

“Tahun lalu, unjuran ICW dan BuildXpo adalah hampir RM500 juta dalam jualan berpotensi melalui aktiviti pemadanan perniagaan kami, termasuk Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), yang menyaksikan penyertaan daripada 19 syarikat antarabangsa dari tujuh negara.

“Tahun ini, kami menyasarkan untuk menetapkan sasaran yang lebih bercita-cita tinggi untuk menyediakan peluang yang lebih besar kepada perniagaan pembinaan kami untuk mempamerkan keupayaan mereka di pentas global,” katanya selepas prapelancaran ICW dan BuildXpo 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Turut hadir dalam program tersebut, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Mohd Zaid Zakaria.

MOHD. Zaid Zakaria yakin lebih ramai peserta akan menyertai
Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2024 yang akan
berlangsung pada bulan Oktober nanti.

Mengulas lanjut, Alexander turut berkata, sasaran unjuran itu juga diletakkan berdasar keadaan semasa industri pembinaan negara.

“Tahun lepas industri baru pulih daripada Covid-19 dan tahun ini kami nampaknya telah pulih lebih banyak lagi dalam senario global, sebab itu kami cukup yakin, terdapat lebih 200 peserta pameran tahun lepas di ICW dan tahun ini kami menyasarkan dua kali ganda iaitu 500 peserta pameran untuk menyertai ekspo itu,” ujarnya lagi.

Alexander dalam masa yang sama turut menekankan ICW dan BuildXpo tahun ini juga akan berfungsi sebagai platform utama untuk mempamerkan pelbagai peluang kerjaya yang tersedia bagi golongan muda dalam pembinaan.

Jelasnya, terdapat keperluan untuk memodenkan dengan kemajuan teknologi yang pesat sebagai pembaharuan daripada tenaga kerja yang konvensional.

“Golongan belia, sebagai anak jati digital, sememangnya mahir dengan teknologi, menjadikan penglibatan mereka penting untuk memacu inovasi dan memodenkan industri. Perspektif dan kecekapan baharu mereka dalam teknologi baharu boleh merevolusikan kaedah pembinaan, amalan kemampanan dan piawaian keselamatan.

“Ia bertepatan dengan usaha kerajaan dalam mempromosi dan membina bakat baharu, dengan mengambil contoh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Dalam Era Digital sekarang, bakat sangat dicari untuk menguasai Al dan kemahiran Al generatif,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd. Zaid turut berkata, CIDB sentiasa berusaha ke arah menimba ilmu dari negara maju bagi meningkatkan lagi standard serta prestasi industri pembinaan negara.

“Hanya beberapa hari yang lalu, pasukan CIDB berada di Australia dan sebelum itu kami berada di tempat lain kerana kami ingin mempelajari potensi yang ada supaya Malaysia boleh meletakkan dirinya sebagai pemain global dalam industri pembinaan.

“Wakil dari negara lain akan berminat untuk bertukar pandangan dan pendapat. Saya rasa kita sudah agak maju tetapi sudah tentu masih ada ruang untuk kita belajar dan sebab itu kerajaan sangat proaktif dalam aspek ini,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan ICW tahun lalu, Mohd. Zaid turut berkata, lebih 10,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa menghadiri acara itu.

“Adalah jelas bahawa ICW di Malaysia telah menjadi acara asas bagi komuniti pembinaan global.

“Tenaga dan kepakaran pada acara tahun lepas telah menetapkan penanda aras baharu,” katanya.

Mohd Zaid juga menjemput semua pemain industri untuk mempamerkan inovasi terkini mereka dalam pembinaan digital, teknologi pintar dan penyelesaian mampan.

“Kami juga menggalakkan anda (pemain industri) untuk berkongsi pandangan dan kepakaran anda sebagai penceramah di pelbagai persidangan dan seminar kami,” katanya.

ICW dan BuildXpo 2024 akan diadakan dari 22 hingga 24 Oktober, dengan disokong Jabatan Kerja Raya (JKR), Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM), Institut Bangunan Bertauliah, dan Institut Arkitek Malaysia (PAM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN