Kerjasama Malaysia, Australia cari bakat tentera terbaik

Kerjasama Malaysia, Australia cari bakat tentera terbaik

Mohamed Khaled (dua kanan) bersama Mohammad (kanan) pada mesyuarat FDMM FPDA ke-12 hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Malaysia terus memperkukuh kerjasama dengan Australia melalui perkongsian maklumat bagi mendapatkan bakat tentera terbaik sekali gus memantapkan benteng pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencarian bakat itu adalah penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan tentera berhadapan dengan cabaran yang lebih kompleks.

Katanya, ia kerana peperangan pada zaman ini memerlukan kepakaran dan kompetensi dalam bidang melibatkan teknologi maklumat dan kejuruteraan.

“Saya telah bangkitkan Dasar Pertahanan Negara Australia yang dikaji semula di mana ia memberi penekanan mengenai kemahiran tentera yang diperlukan abad ini.

“Ini sesuatu yang sangat baik untuk kita lihat serta berkongsi maklumat dan pengalaman. Jadi, kita perlu ada aspek ini dalam tentera kita sebab nanti mahu lawan pakai dron atau siber, semuanya perlukan pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bilateral bersama Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menegaskan bahawa hubungan istimewa antara Malaysia dan Australia akan terus dipertingkatkan termasuk bidang pertahanan.

Ujarnya, beliau mengambil peluang dalam pertemuan itu bagi menjelaskan pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan pengecualian iaitu neutral.

“Walaupun berhadapan dengan cabaran seperti Laut China Selatan, atas dasar itu, kita mahu negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia supaya sentiasa bersama kita.

“Australia mengakui pendirian Malaysia dalam menangani cabaran tersebut sebab ada sesetengah negara menekan kita, sama ada ‘you are here or there’ (di sini atau di sana).

“Tetapi apabila ada hubungan yang berasaskan kepercayaan macam ini, kita yakin dengan Australia,” jelasnya.

Terdahulu, Mohamed Khaled memulakan lawatan kerja rasmi ke Singpura selama empat hari bermula semalam sempena Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-12 .

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Istana, di sini esok.

Selain itu, Mohamed Khaled dijadual menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24) yang berlangsung mulai 31 Mei hingga 2 Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN