HLN 2024 manifestasi iktiraf industri landskap negara

HLN 2024 manifestasi iktiraf industri landskap negara

NGA Kor Ming {tiga dari kanan) selepas majlis prapelancaran HLN 2024 di Taman Persahabatan China-Malaysia Anjung Floria, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih 50,000 pengunjung bakal meriahkan Hari Landskap Negara 2024

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung bakal memeriahkan sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024
bermula 24 Mei ini yang julung kali diadakan selama 10 hari di Taman Tasik Shah Alam, Shah Alam, Selangor.

Lebih mengujakan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bakal berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian
Sambutan HLN 2024 pada hari Sabtu, 25 Mei 2024.

Sambutan yang bertemakan Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI itu adalah sebagai platform kepada penggiat industri landskap untuk mempromosi dan memasarkan produk-produk mereka.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, sambutan HLN bermula pada 3 Mac 1998 bertitik tolak daripada pelancaran Kempen Tanam Pokok (KTP) seluruh negara yang dijalankan setahun sebelum itu bertujuan menggalakkan penanaman pokok teduhan.

“Sambutan HLN merupakan satu manifestasi pengiktirafan negara kepada kepentingan landskap dalam mewujudkan kesejahteraan
persekitaran kehidupan untuk masyarakat.

“Pada masa sama ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap terutamanya dalam kalangan generasi muda, di samping menyebar luas kepentingan landskap terhadap kesejahteraan kehidupan melalui program pembangunan
landskap komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis prapelancaran HLN 2024 di Taman Persahabatan China-Malaysia, Anjung Flora, Putrajaya
di sini baru-baru ini.

 

 

Sambutan HLN 2024 ini melibatkan kerjasama di antara Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan Majlis Bandaraya Shah Alam
(MBSA) demi meningkatkan kualiti pembangunan landskap negara.

Selain itu, kata Kor Ming, ia menjadi salah satu usaha membangunkan industri landskap negara yang dianggarkan bernilai
RM29 bilion sekali gus boleh membawa suntikan dan sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain mencantikkan kawasan,merancakkan kelestarian alam sekitar dan mewujudkan kesedaran, minat dan pengetahuan dalam
kalangan semua pihak terhadap landskap, ia sebagai usaha merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Malaysia Negara Taman
Terindah,” katanya.

Penganjuran HLN 2024 mencerminkan kesinambungan usaha jitu dan serius KPKT melalui Jabatan Landskap Negara demi
memperkasakan industri landskap sebagai sumber ekonomi baharu, dengan mengumpulkan para penggiat industri di bawah satu acara peringkat kebangsaan.

Kepentingan Industri Landskap meliputi subsektor seperti pembinaan, perkhidmatan, pembuatan, pengeluaran bahan tanaman untuk eksport dan peruncitan landskap dalam menyediakan, mengekal serta memulihara persekitaran kehidupan inklusif.

Langkah itu terutamanya di kawasan perbandaran, sejajar dengan tonggak konsep madani berkaitan kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta.

Sepanjang Sambutan HLN 2024 yang berlangsung sehingga 2 Jun depan bakal menyajikan pelbagai aktiviti dan pertandingan antaranya Larian HLN 2024, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak dan demonstrasi masakan From Garden To Plate.

Turut diadakan Pertandingan Melukis Mural, Pembinaan Arca dari bahan kitar semula, Pertandingan Gubahan Bunga, Pertandingan
Booth Industri Terbaik, Pertandingan Laman PBT, Dialog Industri, Pertandingan Photojournalism, Student Workshop dan sebagainya.

Beberapa kategori anugerah akan disampaikan sebagai penghargaan atas usaha dalam memartabatkan industri landskap
negara antaranya Anugerah Landskap bagi kategori Hotel/Resort, Sekolah Menengah/Rendah dan Kampung Baharu.

KPKT sasar peningkatan nilai jualan di HLN 2024

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin rekod jualan sewaktu penganjuran HLN 2024 akan mencapai
peningkatan yang memberangsangkan.

Mansor Mohamad

Ketua Pengarahnya, Mansor Mohamad berkata, sasaran itu mampu dicapai hasil penyertaan menggalakkan pemain industri dengan lebih 100 reruai pameran disediakan dengan sekurang-kurangnya 50 program dan aktiviti diadakan kepada para
pengunjung.

“Penganjuran sebelum ini hanya dibuat sekitar tiga hingga lima hari, tetapi tahun ini hasil komitmen padu antara KPKT melalui
Jabatan Landskap Negara dan kerjasama MBSA, kita dapat mengadakan program ini selama 10 hari.

“50 program dan aktiviti serta pengisian mencakupi pelbagai golongan sama ada pemain industri landskap, pelajar sekolah, pelajar
universiti serta masyarakat keseluruhannya.

“Industri landskap semakin memberi kepentingan dalam masyarakat sama ada dari segi alam sekitar, sosial atau ekonomi,” katanya.

Menurut, antara kelainan pada penganjuran tahun ini ialah dialog industri dalam kalangan pemain industri yang akan
dilaksanakan selama dua hari.

Katanya, dialog berkenaan bagi mendapatkan input dalam kalangan kontraktor pembinaan, pengilang-pengilang peralatan permainan dan pembekal industri pengeluar tanaman dalam usaha memacu industri landskap dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau memberitahu, ia sejajar dengan usaha KPKT melalui jabatan ini dalam proses menyediakan blue print industri landskap
supaya penyediaan rangka kerja itu benar-benar dapat dilaksanakan memenuhi kehendak industri.

Ia sekali gus memberi kesan positif kepada industri seterusnya masyarakat dan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN