MELAKA: Farm Fresh telah menganjurkan Majlis Sambutan Karnival Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan sempena Program Susu Sekolah Sesi 2023/2024.
Farm Fresh Berhad merupakan pengedar susu sekolah di bawah tender Kementerian Pendidikan Malaysia yang melibatkan lapan buah negeri di Semenanjung Malaysia.
Program peringkat kebangsaan ini berlangsung di Hotel Mudzaffar, Melaka dan turut mendapat sokongan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyempurnakan majlis.
Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal dan wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
Karnival ini bertujuan meraikan Hari Susu Sekolah Sedunia di samping penyampaian tujuh kategori anugerah yang ditaja oleh syarikat sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat CSR syarikat meraikan sekolah dan anak-anak murid seluruh negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah meneruskan Program Susu Sekolah (PSS) dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula Mei 2023 sehingga Jun 2024 secara tender terbuka kepada pengilang-pengilang susu tempatan untuk membekalkan susu terus kepada sekolah dan murid-murid sekolah rendah penerima bantuan di seluruh negara.
Penerima bantuan ini terdiri daripada murid-murid daripad keluarga miskin tegar, Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dan murid di sekolah Asli/Penan.
PSS telah dilaksanakan mulai tahun 1983 dan berterusan sehingga sekarang. PSS dilaksanakan secara umumnya bagi menerapkan amalan minum susu di samping meningkatkan tahap pemakanan dan kesihatan di kalangan murid sekolah rendah.
Selain itu, dengan adanya susu dalam hidangan, akan memastikan murid menerima nutrisi yang lengkap dan pemakanan yang seimbang bagi menyokong tumbesaran kanak-kanak serta memupuk tabiat yang baik supaya kekal sihat dan segar.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, antara objektif KPM dalam melaksanakan program ini adalah untuk memupuk amalan pengambilan susu atau produk tenusu dalam pemakanan murid-murid terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
“Ini seterusnya diharapkan akan menjadi amalan murid sehingga mereka dewasa agar kita dapat membentuk generasi yang sihat dan cergas,” katanya.
Menurutnya, selain memupuk amalan minum susu, program ini juga merupakan usaha KPM bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan murid-murid di sekolah rendah mendapat nutrisi yang seimbang dan lengkap bagi setiap hari persekolahan.
“Atas dasar ini dan sokongan pihak KKM, program ini telah diperkasakan dan diteruskan pada 2024,” ujarnya.
Farm Fresh Berhad sendiri selaku pembekal terbesar perlu membekalkan susu kepada hampir 355,000 murid-murid, 3,037 buah sekolah dan melibatkan perbekalan keseluruhan melibatkan 63 juta kotak susu untuk perbekalan sepanjang program ini (sehingga Mei 2024 ).
Menurut Azmi, Farm Fresh sangat berbangga dapat sekali lagi menjadi salah satu pengeluar tenusu yang menyokong Program Susu Sekolah tahun ni.
“Program ini menyasarkan kebaikan nutrisi kepada murid-murid di bawah RMT bagi memerangi masalah malnutrisi dan bantut bagi menyokong tumbesaran kanak-kanak yang lebih baik.
“Dalam pada kita menjaga nutrisi untuk anak-anak, pada masa yang sama, rezeki ini turut dikongsi untuk membantu usahawan tempatan di bawah program Home Dealers kami, Home Dealers kami menghantar susu ke sekolah dengan penuh dedikasi sehingga ke seluruh Malaysia,” katanya.
Tahun ini, Farm Fresh menganjurkan pelbagai aktiviti yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesenian, melalui pertandingan Choral Speaking dan Pertandingan Melukis dan Mewarna, mereka turut menyentuh elemen ESG (Environmental, Social and Governance) melalui pertandingan Farm in School dan Pertandingan Kereta Kitar Semula Grandprix Farm Fresh yang membolehkan pelajar membina kereta lumba mini menggunakan bekas susu terpakai.
Yang paling penting, Farm Fresh telah membina 10 buah Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi yang membolehkan murid-murid mengikuti program tuisyen dan pelbagai aktiviti kemahiran hidup yang lain selama tiga hari seminggu.
Selain itu, inisiatif untuk berkempen mengenai amalan ‘Green Environment’ juga perlu dilaksanakan oleh syarikat dalam memelihara alam sekitar.
Ia suatu usaha bersama pihak swasta dan kerajaan bagi memberikan manfaat kesihatan kepada murid dalam masa yang sama memberikan input positif kepada mereka.
Farm Fresh telah bekerjasama dengan pihak Tetra Pak Malaysia, syarikat pembungkusan kotak susu yang digunakan oleh Farm Fresh untuk menjalankan kempen kitar semula di sekolah-sekolah dengan menyediakan tong kitar semula khas bagi menggalakkan amalan kitar semula di sekolah-sekolah terpilih.
Tetra Pak turut menjalin kolaborasi bersama Farm Fresh dengan menganjurkan pertandingan Farm in School peringkat Kebangsaan dengan menilai kreativiti sekolah mewujudkan taman menggunakan bahan kitar semula serta penerapan ilmu pertanian dalam kalangan murid-murid ke arah mewujudkan kecintaan kepada alam sekitar.
Terrynz Tan, Pengarah Kelestarian ASEAN, Tetra Pak pula berkata: “Kami teruja untuk bekerjasama dengan Farm Fresh, membantu pelajar meningkatkan kesedaran tentang kepentingan nutrisi untuk tumbesaran dan menyemai amalan kitar semula sejak usia yang muda untuk gaya hidup yang mampan.”
Katanya, kerjasama ini juga sejajar dengan cita-cita kerajaan Malaysia untuk Ekonomi Kitaran.
“Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk menyumbang kepada membina masa depan yang lebih cerah dan lebih mampan untuk negara kita,” katanya.
Tahun 2024 merupakan tahun bersejarah bagi syarikat Farm Fresh kerana telah menganjurkan pelbagai CSR di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh negara dengan nilai CSR lebih RM2.3 juta ringgit.
Karnival Hari Susu Sekolah Peringkat Kebangsaan di Melaka ini turut dimeriahkan dengan pertandingan akhir untuk Senamrobik, Choral Speaking, Pertandingan Kereta Kitar Semula Grandprix Farm Fresh dan Pertandingan Melukis dan Mewarna dan penyampaian hadiah untuk 7 anugerah dengan jumlah hadiah bernilai RM27,770. – UTUSAN