GURUN: Tiada siapa menyangka, daripada hanya berniaga kecil-kecilan menjual cendol bersama suami, kini Nila Amela Achmad berjaya memperluaskan perniagaannya.
Perniagaannya, Cendol Pulut Jeniang atau terkenal dengan nama CEN terletak di Pekan Jeniang yang bahagian hadapan kedainya amat menarik dengan susunan tin-tin yang berwarna-warni.
Suasana kedai amat menarik perhatian serta layanan yang diberikan cukup memuaskan. Pelbagai menu dijual antaranya cendol, laksa, nasi ayam, nasi ayam penyet, bakso, ais kacang, mi rebus, bihun sup serta lauk-pauk untuk nasi campur.
Nila Amela berkata, bantuan modal daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah banyak membantunya dalam mengembangkan perniagaan yang dimulakan sejak 20 tahun lalu. Berkat izin Allah bantuan modal daripada AIM telah banyak membantunya dalam mengembangkan perniagaan yangg dimulakan sejak 20 tahun lalu.
“Pada mulanya saya berniaga bersama dengan suami, Hashim Ramli dan anak, itu pun secara kecil-kecilan. Kami sahaja yang berniaga dan tidak ada lagi pekerja pada masa itu.
“Suami akan buat cendol, saya menyediakan makanan dan lauk-pauk, anak-anak pula tolong mana yang patut, sekarang setelah kenal AIM sejak 2017, saya telah membuat pembiayaan dan mengembangkan perniagaan dengan membuka satu lagi cawangan restoran di Guar Chempedak dan di Batu 2, Gurun dan sebuah ‘foodtruck’ untuk kegunaan jualan bergerak.
“Alhamdulillah, dengan berkat usaha dan bantuan AIM, kami mampu untuk menggajikan pekerja yang sedikit sebanyak mengurangkan beban kami berdua.
“Jadi apabila ada pekerja, kerja kita lebih ringan dan menu lain juga boleh ditambah, kalau dulu cuma cendol sahaja, sekarang saya boleh beri tumpuan untuk menguruskan perniagaan dan melayan pelanggan manakala mereka membantu menyediakan makanan dan minuman,” ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Setelah memperoleh sedikit kejayaan, perancangan masa hadapannya ialah untuk membina empayar bagi membantu masyarakat setempat terutamanya para pekerja CEN Cendol Pulut Jeniang supaya dapat berdikari dan mempunyai perniagaan sendiri.
“Saya harap, dengan pengalaman yang ada ini dapat saya berkongsi rezeki dengan masyarakat dan bantu mana yang termampu.
“Ini selaras dengan misi AIM untuk memantapkan modal insan melalui penerapan budaya pembelajaran, keusahawanan dan inovasi yang berterusan,” tambahnya. – UTUSAN