Sebati sebagai anak nelayan sejak kecil lagi, Abdul Rashid Kashim, 46, di Kampung Linting, Pulau Tanjung Surat, Johor, dia tetap ingin turun ke laut mencari rezeki meski pun bot miliknya hilang sejak sembilan tahun lalu.
Tanggungjawab menjaga ibu yang sudah uzur dan juga demi kelangsungan hidup, membataskan hasratnya, apatah lagi mengumpul wang untuk membeli bot baharu.
“Apabila bot hilang memang sedih sebab itu satu-satunya mata pencarian saya untuk menyara emak. Sejak bot hilang saya tak terfikir dapat kembali ke laut kerana tidak mampu membeli bot dan enjin yang berharga ribuan ringgit.
Berikutan itu, katanya, dia terpaksa keluar menoreh getah sebagai sumber mata pencarian.
“Walaubagaimanapun, hasil jualan getah hanya boleh diperolehi selepas dua ke tiga bulan kerana perlu dibawa ke luar pulau untuk dijual kepada pembekal. Jadi, kena pandai simpan duit untuk perbelanjaan harian.”
Justeru katanya, dia amat bersyukur apabila menjadi salah seorang penerima PETRONAS 50 Dreams, program sempena meraikan ulang tahun PETRONAS ke-50 tahun yang bertujuan merealisasikan 50 impian sebenar rakyat Malaysia.
“Saya memang sebak apabila terpilih menerima bantuan daripada PETRONAS yang memberikan bot dengan enjin 15 kuasa kuda. Gembira tidak terkata kerana saya dapat kembali semula mencari rezeki di laut dengan bot itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Abdul Rashid berkata, lebih menyentuh hatinya apabila bantuan diterima itu adalah bot dan enjin yang telah lama diidamkan sejak menjadi nelayan.
“Sebelum ini saya pakai bot enjin lapan kuasa kuda sahaja. Apabila terima bantuan ini saya memang gembira kerana impian miliki bot yang mempunyai enjin berkuasa tinggi tercapai.
“Bahkan kini saya lebih bersemangat untuk ke laut dan mampu menangkap hasil yang lebih banyak dengan bot ini,” katanya.
Anak bongsu daripada 10 beradik itu menyifatkan bantuan tersebut adalah berkat menjaga ibunya, Halijah Awang, 84, yang sudah tua. “Saya masih bujang. Sejak bapa meninggal dunia, saya yang jaga dan menguruskan ibu di rumah. Adik-beradik yang lain sudah berumahtangga tetapi mereka tinggal dekat-dekat sini sahaja.
“Apabila keluar ke laut kelak, abang akan tengokkan emak. Emak tidak boleh tinggal seorang diri kerana telinga tidak dengar, mata pun tidak nampak, saya risau kalau seorang diri takut dia jatuh,” katanya.
Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, M. Zaki Mahat berkata, sempena ulang tahun ke-50 PETRONAS yang bertema ‘Bersama Menyambung Warisan Demi Masa Depan’, PETRONAS meraikannya bersama warga Malaysia dengan memperbanyakkan lagi aktiviti kemasyarakatan.
Bagi program ‘PETRONAS 50 Dreams’, daripada 50 penerima di seluruh Malaysia, lapan adalah dari selatan tanah air. Impian mereka akan direalisasikan sempena perayaan besar seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan juga Hari Kebangsaan Malaysia.
“Jenis bantuan yang diberikan kepada Rashid adalah dalam bentuk barangan peralatan dan keperluan asas serta pembersihan rumah menerusi aktiviti kesukarelaan.
“Antara bantuan yang diberikan adalah sebuah bot dilengkapi dengan enjin berserta jala ikan, barangan baik pulih rumah dan perabot.
“Selain itu, PETRONAS juga memberikan bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, iaitu baju raya, barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, rempah masakan, garam dan gula.” katanya.
Bagi aktiviti kesukarelaan pula, ia disertai oleh sukarelawan daripada PETRONAS Wilayah Selatan, PETRONAS Refinery & Petrochemical Corporation (PRPC) serta Kelab Sukan dan Rekreasi PETRONAS (KSRP).
Katanya, tujuan pemberian bantuan adalah bagi merealisasikan impian Rashid untuk menjalani kehidupan lebih baik serta dapat meneruskan tanggungjawab menjaga ibu serta keluarganya.
“Setiap impian yang dikenal pasti akan disaring untuk memastikan setiap individu yang terpilih merupakan individu yang layak dan dapat memberikan impak besar kepada dirinya serta masyarakat.
“Impian Rashid untuk memiliki sebuah bot demi meneruskan pekerjaan sebagai nelayan bukan sahaja dapat menambah baik kehidupannya, malah menjadi inspirasi bahawa setiap usaha yang bersungguh-sungguh akan beroleh kejayaan,” katanya.
PETRONAS juga melaksanakan program tahunan seperti Program Memacu Kehidupan Musim Perayaan (Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas), Program Memperkasakan Ilmu (Program Duta Guru, Program STEM) dan Program Menyemai Masa Hadapan (Konservasi alam sekitar melalui inisiatif penanaman pokok).
Tambah M. Zaki, “Usaha ini adalah bagi mendokong agenda kelestarian diterajui oleh Yayasan PETRONAS dengan kerjasama PETRONAS serta anak-anak syarikat yang berada di selatan tanah air. “
Seiring hasrat kerajaan, PETRONAS dengan kerjasama erat dan sokongan yang padu daripada pihak kerajaan negeri, PETRONAS berupaya menunaikan amanah dan tanggungjawab sosial, terutamanya kepada golongan yang memerlukan. – UTUSAN