Aliran masuk FDI tunjuk negara di landasan pemulihan - Utusan Malaysia

Aliran masuk FDI tunjuk negara di landasan pemulihan

ALIRAN FDI yang meningkat membuktikan Malaysia berada di landasan pemulihan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minat berterusan syarikat antarabangsa terhadap Malaysia, aliran masuk pelaburan asing dan pertumbuhan pelancong antarabangsa ke paras sebelum pandemik menunjukkan negara berada di landasan betul untuk pemulihan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata pengumuman pelaburan kira-kira RM10.5 bilion baru-baru ini adalah kejayaan besar negara dalam saingan sengit dari negara Asia Tenggara lain untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, ini menunjukkan Malaysia masih mempunyai daya penarik kepada pelabur asing dan berada di landasan yang baik.

“Pastinya pelaburan sebesar ini akan mencipta ribuan peluang pekerjaan untuk pekerja berkemahiran tinggi Malaysia, yang sedia terlatih terutama graduan universiti tempatan.

“Ini perlu untuk mengelakkan isu ‘under-employment’ iaitu pekerja berkemahiran tinggi terpaksa mengambil jawatan biasa kerana kekurangan jawatan sepertinya di Malaysia pada waktu ini.

“Kita juga tidak mahu Malaysia menjadi tempat lambakan teknologi lama terutama FDI yang masuk ke negara kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Aimi Zulhazmi berkata, kadar pengangguran negara semasa adalah 3.3 peratus dan berada atas sasaran 2024 iaitu 3.4 peratus.

Katanya, ini adalah petanda baik kerana pada Mac hanya 566,600 yang belum bekerja daripada jumlah tenaga buruh lebih 17 juta orang, satu jumlah lebih besar daripada jumlah tenaga kerja sebelum pandemik pada 2019.

“Ekonomi negara berada pada landasan baik dengan kadar pengangguran yang sama sebelum berlaku pandemik. Pendapatan per kapita juga bertambah baik berbanding sewaktu pandemik melanda negara pada 2020 dan 2021, walaupun dibayangi kenaikan kos sara hidup.

“Kadar inflasi yang pernah menghampiri lima peratus kini menurun kepada 1.8 peratus sahaja, masih rendah berbanding unjuran 2.5 ke 3.3 peratus bagi keseluruhan 2024,” katanya.

Beliau berkata, dalam mengekalkan momentum perkembangan ekonomi Malaysia terutama domestik, kerajaan perlu terus menstabilkan kadar kewangan seperti kadar dasar semalaman (OPR) bagi tahun ini.

“Ia sebenarnya membantu perniagaan dan rakyat untuk merancang dan membuat unjuran mereka masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dasar kerajaan mesra pelabur, piawaian perundangan yang baik, infrastruktur moden, modal insan berkemahiran dan kepelbagaian budaya memudahkan syarikat asing beroperasi di Malaysia.

“Justeru, usaha mempromosikan Malaysia sebagai hab pengeluaran, pusat ibu pejabat dan data raya perlu diperhebat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, kadar pengangguran yang terus menurun menunjukkan ramai rakyat Malaysia sudah bekerja dan mendapat pendapatan sekali gus meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

“Ini jelas kelihatan apabila perdagangan runcit mencatatkan kenaikan sebanyak 7.1 peratus kepada RM62.8 billion pada suku pertama tahun ini berbanding 5.8 peratus dicatatkan tempoh sebelumnya,” katanya.

Afzanizam berkata, jumlah trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA2 juga meningkat 35.5 peratus dan 15.5 peratus kepada 7.2 juta dan 6.1 juta pada suku pertama 2024.

“Bagi KLIA 1, angka ini sudah melepasi angka pra pandemik iaitu 6.97 juta. Jumlah pelancong yang datang ke Malaysia juga meningkat kepada 20 juta pada 2023 berbanding 10 juta tahun sebelumnya.

“Justeru, sektor pelancongan dan penerbangan sudah mencatatkan prestasi yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata aliran masuk pelabur antarabangsa sudah mula menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia.

“Ini berdasarkan beberapa indikator seperti pertumbuhan ekonomi kekal positif tahun ini, kerajaan stabil dan usaha membanteras rasuah yang semakin baik.

“Perkembangan ini akan meningkatkan pekerjaan untuk rakyat tetapi diharapkan kerajaan akan lebih memilih jenis pelaburan bersifat teknologi tinggi supaya mampu menawarkan gaji lebih kompetitif kepada rakyat.

“Ini sekali gus menggalakkan lebih ramai pekerja berusaha ke arah meningkatkan kemahiran mereka ke aras lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN