PETALING JAYA: Peningkatan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seiring dengan pemulihan ekonomi Malaysia yang berkembang 5.1 peratus serta laporan kewangan yang positif pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ini termasuk sektor kewangan, pembinaan, telekomunikasi, teknologi dan lain-lain.
“Lebihan dagangan negara yang berterusan yang dicatatkan oleh sektor eksport untuk 2024 juga memastikan kedudukan negara yang utuh di dalam rantaian nilai global pelbagai industri.
“Ini seperti elektrik dan elektronik (E&E), pertanian dan sektor lain yang memastikan eksport negara cukup pelbagai dan mampan dalam ketidaktentuan global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi 2024, yang tertinggi sejak 2017.
Jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional melibatkan RM63.05 bilion dan RM10.19 bilion bagi Simpanan Syariah, melibatkan agihan keseluruhan berjumlah RM73.24 bilion.
Menurut Aimi Zulhazmi, prestasi itu juga sejajar dengan pasaran kewangan negara, terutama Bursa Malaysia yang mengalami peningkatan aliran masuk yang berterusan pada 2024.
“Ia turut diperlihatkan oleh pengukuhan rizab bank negara dan aliran masuk pegangan asing ke atas bon kewangan terbitan kerajaan.
“Pencapaian KWSP ini patut diberikan kepujian yang tinggi kerana keupayaannya untuk memberikan dividen terbaik dalam tempoh lima tahun lalu walaupun pasaran kewangan global begitu mencabar, terutama selepas pandemik disusuli pelbagai peristiwa geopolitik dan perubahan iklim dunia yang drastik.
“Pulangan seperti ini amat bererti kepada rakyat Malaysia, terutamanya kebergantungan hari tua mereka nanti, begitu juga dengan ruang yang diberikan melalui akaun fleksibel membenarkan pengeluaran pada bila-bila masa,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar dividen seharusnya membantu ahli-ahli KWSP untuk mencapai simpanan persaraan yang lebih tinggi.
“Selain itu, strategi pelaburan KWSP dilihat berkesan meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran yang sentiasa berlaku.
“Justeru, kadar dividen yang baik ini seharusnya dapat menambah keyakinan bahawa KWSP adalah institusi persaraan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi dengan sumber manusianya yang kompeten serta tahap tadbir urus yang baik dan telus.
“Prestasi pasaran saham di peringkat global dan domestik meningkat tinggi serta suasana kadar faedah yang stabil yang mana Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada paras tiga peratus dilihat antara faktor penyumbang kepada peningkatan pendapatan pelaburan KWSP,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi KWSP tahun ini, beliau berkata, iklim pelaburan dilihat lebih mencabar disebabkan pentadbiran yang baharu di Amerika Syarikat yang diterajui oleh Donald Trump telah menyebabkan pasaran kewangan global mencatatkan turun naik yang besar.
“Justeru, tahap risiko pelaburan pada tahun ini dilihat tinggi. Oleh itu, para ahli KWSP perlu meletakkan suatu pengharapan yang realistik bagi dividen tahun ini.
“Apa yang penting, KWSP sentiasa memberikan dividen melebihi kadar purata inflasi jangka panjang iaitu 2.5 peratus setahun,” katanya. – UTUSAN