Bursa Malaysia menjunam di bawah 1,500 mata - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia menjunam di bawah 1,500 mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia menjunam di bawah 1,500 mata semalam, sejajar dengan kejatuhan pasaran saham utama susulan kebimbangan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan jangkaan kemelesetan di ekonomi terbesar dunia itu.

Pada penutup dagangan semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 35.32 mata kepada 1,484.83 berbanding 1,520.15 ketika ditutup pada Selasa.

Kali terakhir Bursa Malaysia ditutup di bawah 1,500 adalah pada Januari tahun lalu.

Jumlah dagangan sebanyak 1.61 billion unit bernilai RM1.21 bilion.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 563 berbanding 269 dengan 413 kaunter tidak berubah dan 1,159 tidak diniagakan.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kejatuhan pasaran saham akan berterusan kerana pasaran kewangan global sebenarnya masih lagi mencari arah hala tuju berikutan kesan dari perang tarif yang AS laksanakan kepada rakan dagang utamanya.

Katanya, pertumbuhan perdagangan dunia dijangka terjejas apabila Trump cuba memperbaiki ekonomi domestik AS dengan mengurangkan kebergantungan kepada barangan ekspot dan cuba membangunkan perusahaan dalam negara untuk mengeluarkan barangan keperluan.

“Bursa Malaysia pasti mengikuti hala tuju pasaran saham dunia lain yang turut merudum terutamanya di AS sendiri.

“Kesan jangka pendek dijangka mengambil masa antara tiga bulan ke enam bulan untuk mempelajari pelan tindakan yang sesuai kepada negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, industri elektronik Malaysia yang mengeksport sebahagian besar semikonduktor kepada AS dijangka menerima kesan terbesar kerana negara merupakan pengeluar komponen utama dalam rantaian nilai bekalan global.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, bursa tempatan meneruskan kerugiannya apabila ketidaktentuan ekonomi global menjejaskan sentimen, sejajar dengan pasaran serantau.

Katanya, berikutan pengumuman baru-baru ini mengenai tarif tambahan 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium dari Kanada, walaupun dibalikkan, pihaknya percaya Wall Street mungkin mempunyai peningkatan terhad.

Jelasnya, ini kerana tindakan balas dendam oleh rakan perdagangan akan memberi kesan negatif kepada aktiviti ekonomi.

“Semua mata tertumpu pada data inflasi AS malam ini, kami percaya bahawa sisihan negetif lima peratus daripada ramalan 2.9 peratus akan menjejaskan sentimen.

“Dalam pasaran komoditi, minyak mentah Brent susut ke arah AS$69 setong di tengah-tengah rundingan damai Ukraine-Russia.

“Sementara itu, emas diniagakan lebih tinggi ke arah AS$2,917 seauns, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) kekal dalam julat ketat pada RM4,468,” katanya dalam Kemas Kini Pasaran Harian semalam.

Tambahnya, walaupun pasaran saham tempatan dijangka berdagang dalam sesi yang tidak menentu disebabkan oleh tindakan AS dan rakan dagangannya, pihaknya berpendapat pelabur harus memberi tumpuan kepada sektor yang kukuh pada asasnya seperti bank dan amanah pelaburan hartanah (REIT).

“Ini berikutan pembentukan trend positif mereka, pertumbuhan pinjaman yang stabil dan pembayaran dividen yang sihat.

“Selain itu, kami telah melihat beberapa minat belian ke atas saham yang telah terlebih jual dengan ketara disebabkan tekanan jualan sepanjang bulan lalu, ditambah dengan lantunan semula dalam saham teknologi terpilih di AS, mungkin terdapat peluang dalam sektor teknologi, sekurang-kurangnya untuk sepanjang minggu ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya