ARAU: Tempoh penuh mencabar terpaksa berdepan masalah capaian internet yang lemah ketika proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selain kehidupan keluarga serba kekurangan bukan penghalang kepada Nur Najiha Najwa Zul Burhan,18, memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Malah, Nur Najiha dari Kampung Pida 15, Tok Pulau, Simpang Empat di sini juga tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat melihat keputusan semua 10 A bersama ibu dan ayah melalui telefon pintar.
Segala kepayahan yang ditempuh anak tukang rumah itu akhirnya membuahkan hasil meskipun pada awalnya sedikit putus asa khususnya ketika melalui proses pembelajaran secara dalam talian.
“Walaupun kita terpaksa menempuh segala kepayahan namun jangan sesekali kita putus asa dan perlu sentiasa berdoa. Alhamdulilah, berkat usaha gigih itu saya berjaya mendapat keputusan semua 10 A dalam SPM.
“Apa yang memberi kekuatan kepada saya adalah harapan untuk membantu keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh. Kami bukan orang senang, malah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehidupan kami cukup mencabar,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Perempuan Kangar kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Nur Najiha, berikutan kesukaran ketika proses PdPR itu, dia akan menelefon gurunya setiap kali selepas tamatnya pembelajaran secara dalam talian berkenaan.
“Saya agak susah hendak faham ketika proses PdPR selain masalah capaian internet yang lemah di kampung. Selepas itu, saya akan menelefon guru atau rakan-rakan untuk bertanya bagi subjek-subjek tertentu yang saya sukar untuk faham,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang akauntan atau pegawai syariah.
Katanya lagi, dia juga sedih tidak dapat berjumpa rakan-rakan di sekolah selepas keputusan SPM diumumkan secara dalam talian.
Ujarnya, dalam suasana norma baharu ini, semua pelajar perlu berusaha menyesuaikan diri khususnya belajar secara dalam talian.
“Insya-Allah walaupun sesukar mana sekali pun jangan sesekali kita berputus asa. Malah, jangan lupa sentiasa berdoa agar kita diberikan kekuatan dan kejayaan,” katanya.
Sementara itu, bapa Nur Najiha, Zul Burhan Bidin,49, berkata, dia sangat gembira apabila anak sulung daripada tiga beradik itu berjaya menempuh 1,001 kesukaran untuk berjaya.
“Saya melihat kakak (Nur Najiha) tidak pernah berputus asa ketika belajar. Walaupun capaian internet lemah dan kehidupan kami serba kekurangan, kakak tetap tidak putus asa untuk terus berusaha.
“Untuk melihat anak-anak berjaya, saya perlu berusaha lebih gigih melakukan pelbagai kerja khususnya dalam tempoh PKP bagi menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE