Megat Irfan raih Anugerah Pengarah Polimas

Megat Irfan raih Anugerah Pengarah antara 1,439 graduan Polimas

MEGAT Irfan Imanudin Megat Saiful Hasnin (lima kiri) menerima Anugerah Pengarah daripada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Muhamad Rumzi Mamat (empat kanan) sempena Istiadat Konvokesyen ke-36 Polimas di Jitra, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Bekerja secara sambilan bukan peng­ha­lang buat seorang gra­duan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) di Jitra untuk meraih keputusan cemerlang.

Megat Irfan Imanudin Megat Saiful Hasnin, 22, antara 1,439 graduan bidang kejuruteraan awam; elektrik; mekanikal; perdagangan serta teknologi komunikasi dan maklumat Polimas yang menerima diploma masing-ma­sing pada istiadat konvoke­syen sehingga 2 Oktober ini.

Graduan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) itu berkata, selain aktif dalam bidang kokurikulum sepanjang belajar, dia giat mencari rezeki dengan menjadi jurugambar sambilan sebagai duit poket untuk meringankan beban keluarga.

Malah, kebijaksanaan anak kelahiran Ipoh, Perak itu membahagikan masa menjadi antara rahsia bagaimana dia mampu meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 serta cemerlang dalam bidang kokurikulum yang seterusnya dinobatkan penerima Anugerah Pengarah sempena konvokesyen ke-36, kali ini.

“Biasanya selepas habis kelas, saya memperuntukkan masa sekurang-kurangnya satu jam untuk belajar di lokasi-lokasi senyap seperti perpustakaan atau kafe. Pada waktu itu, saya berseora­ngan dan memberi tumpuan sepenuh­nya kepada pelajaran.

“Pada hari minggu pula, saya lazimnya pulang ke kampung kera­na kebanyakan rezeki sebagai jurugambar sambilan dibuat di Ipoh. Disebabkan kesibukan pada hujung minggu itu, saya ‘mencuri’ masa dengan belajar sewaktu dalam perjalanan menaiki bas dari Alor Setar ke Ipoh dan sebaliknya,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui Utusan Malaysia selepas menerima anugerah berkenaan daripada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Muhamad Rumzi Mamat.

Menurut Megat Irfan Imanudin, kehidupan di Polimas banyak melatihnya menjadi insan lebih berdikari dan berguna dalam kehidupan yang diyakini dapat terus mematangkannya.

“Selepas ini, saya bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer atau perkara berkaitan. Buat masa ini saya bekerja sebagai pembangun laman web di sebuah syarikat di Ipoh.

“Sebelum ini saya rancang bekerja selama setahun untuk cari wang sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah. Tetapi dengan menerima anugerah ini, saya akan mendapat biasiswa penuh untuk menyambung pelajaran dan menjadi pemangkin semangat untuk lebih berjaya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Rumzi memaklumkan, kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti pada 2023 mencatat sejarah apabila mencapai kebolehpasaran tertinggi melebihi 97 peratus.

“Dalam usaha menghasilkan graduan yang relevan dengan keperluan industri dan negara, kami mengutamakan kolaborasi bersama pihak industri secara bersinergi.

“Pihak jabatan telah mendapat kepercayaan hampir 19,000 pemain industri antaranya PKT Logistic, Maybank, Bank Rakyat, Petronas, Telekom Malaysia (TM), Samsung Malaysia Electronics serta banyak lagi yang sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai aspek termasuk kepakaran dimiliki mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya