Pengalaman kerja kontrak 'mudahkan' pengajian

Pengalaman kerja kontrak ‘mudahkan’ pengajian

MUHAMMAD Helmi Ardiansyah Kusnoto (berdiri tengah) dengan para pelajar terbaik program bersama hadiah dan sijil pada Majlis Konvokesyen KPYPJ Ke-24 di Dewan Besar KYPJ Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Muhammad Helmi Ardiansyah Kusnoto tidak pernah menyangka pengalaman mengikuti bapanya bekerja sebagai kontraktor pembinaan banyak membantunya mendepani pengajian Diploma Senibina selama tiga tahun di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ).

Lebih manis, Muhammad Helmi, 21, bukan sahaja menamatkan pengajiannya dengan cemerlang malah turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor pada Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ Ke-24 di Dewan Besar KYPJ, di sini semalam.

Anugerah tersebut disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh yang mewakili Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dia menerima dinar emas, sijil dan piala pusingan atas kecemerlangan tersebut.

Muhammad Helmi mengakui pengalaman membantu bapanya, Kusnoto Kuslan, 52, menyiapkan projek pembangunan seawal usia muda membolehkannya mendapat pendedahan ilmu berkaitan seni bina, khususnya selok-belok menyiapkan projek pembinaan rumah, bangunan dan perparitan.

“Saya memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan itu dalam pengajian jurusan seni bina di KYPJ. Saya dedikasikan kejayaan ini kepada ibu dan bapa serta ahli keluarga yang sudah banyak berkorban untuk saya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pensyarah yang sentiasa sedia berkongsi kepakaran dan ilmu sepanjang pengajian di KYPJ,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Anak kelahiran Kempas, Johor Bahru ini sentiasa memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan termasuk mendapat Purata Nilai Gred (GPA) tertinggi, iaitu 4.0 pada semester lima dan enam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga mengakui tidak mempunyai formula khusus, tetapi sentiasa rajin bertanya kepada pensyarah dan mengulang kaji pelajaran serta menyiapkan tugasan lebih awal.

Kecemerlangannya bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga dan KYPJ, malah beliau tidak menunggu lama dan terus dilamar oleh sebuah syarikat arkitek dan kini menjadi pembantu teknikal arkitek di Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya