PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu segera merangka pelan untuk meningkatkan enrolmen pelajar dalam aliran sains di peringkat sekolah menengah atas bagi mencapai sasaran mempunyai sekurang-kurangnya 500,000 sumber tenaga berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam sains serta kejuruteraan.
Pelan tersebut bagi menangani isu kemerosotan enrolmen pelajar dalam aliran sains yang kini hanya mencatatkan 15.2 peratus berbanding dasar 60:40 yang dirangka pada tahun 1967.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, berdasarkan dasar 60:40 yang dirangka pada tahun 1967, 60 peratus daripada pelajar tingkatan empat disasarkan masuk ke aliran sains dan teknologi manakala selebihnya mengikuti aliran sastera atau sains sosial.
Bagaimanapun, beliau berkata, data terkini menunjukkan hanya 15.2 peratus atau sekitar 60,000 pelajar di aliran sains peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan data di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) lebih membimbangkan.
“Hanya 9.5 peratus sahaja pelajar aliran sains (di peringkat STPM). Jauh merudum berbanding dasar 60:40 yang disasarkan.
“Sebelum tahun 2012, peratus murid aliran sains peringkat SPM adalah 24 peratus, kemudian merosot pada 19 peratus pada 2018 dan merosot lagi ke 15.2 peratus pada 2023. Ini satu perkembangan yang sangat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Anuar turut melahirkan kekecewaannya apabila sehingga saat ini isu tersebut belum mendapat respon daripada KPM sedangkan rakyat sedang menantikan kesahihan perkara tersebut.
Tegasnya, Malaysia memerlukan sekurang kurangnya 500,000 sumber tenaga manusia yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam bidang sains dan kejuruteraan untuk menjadi sebuah negara maju namun data terkini menunjukkan baru mencapai 17 peratus.
“Peratus yang sangat rendah ini pasti merosot lagi jika murid dalam aliran sains semakin merosot. Kita perlukan segera pelan meningkatkan enrolmen murid dalam aliran sains di peringkat sekolah menengah atas.
“Kita perlukan segera pelan tindakan untuk menjadikan subjek sains di sekolah rendah dan menengah lebih menarik dan mendapat perhatian murid.
“Kita mesti menjadikan pengajaran sains sesuatu yang mencabar tetapi pada masa yang sama meningkatkan motivasi dan keinginan murid untuk belajar sains,” katanya.
Katanya lagi, KPM mesti menyediakan infrastruktur pendidikan sains yang lebih baik, makmal sains dengan peralatan yang lengkap, ruang pembelajaran lebih interaktif.
“Fokus kita kena jelas. Usaha kita kena lebih kuat. Sekadar mahu kekal ‘status quo’ sahaja dengan apa yang ada sekarang tidak akan membawa kita ke mana-mana.
“Kita sedang ketinggalan. Ini memerlukan perubahan dalam dasar dan kurikulum pendidikan sains. Pemimpin pendidikan negara kena lebih proaktif demi kemajuan negara,” katanya. – UTUSAN