MUSIM cuti sekolah penggal kedua kini bermula dengan kebanyakan ibu bapa sudah mengatur pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama anak-anak.
Antara yang lazim dilakukan ialah melancong ke luar negara dan tidak kurang juga bercuti dalam negara termasuk pulang ke kampung.
Bagi yang kesuntukan masa untuk melancong, terdapat banyak pilihan tempat di sekitar ibu kota untuk dikunjungi seisi keluarga.
Berikut tujuh destinasi didik hibur yang boleh dilawati sepanjang cuti sekolah ini.
Zoo Negara
-Gelagat penghuni Zoo Negara yang mencuit hati pasti membuatkan anda sekeluarga terhibur sepanjang berada di destinasi ini.
-Jangan lepaskan peluang melihat pasangan panda, Liang Liang dan Xing Xing di samping bintang kegemaran ramai, Oyen yang bersahabat baik dengan tikus gergasi, Capybara.
-Bagi yang menyambut hari lahir pada musim persekolahan ini, anda berpeluang menikmati tiket masuk secara percuma.
-Tiket boleh ditebus pada hari lahir atau dalam tempoh 30 hari bermula hari lahir anda.
Pusat Sains Negara
-Dibuka pada 29 November 1996, taman tema berkonsepkan sains dan teknologi ini menempatkan ruangan galeri pameran di samping taman pendidikan yang dikenali sebagai Science Wonderland.
-Pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi sains yang menyeronokkan. Sesi itu berlangsung selama dua kali pada pukul 11 pagi dan 3 petang di pentas persembahan di aras 1.
-Bayaran masuk RM3 sahaja untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun manakala dewasa (13 hingga 54 tahun) pula RM6.
Rumah Kartun dan Komik Malaysia
-Bertempat di Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur, destinasi ini mempamerkan karya kartunis terkenal negara seperti Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat, Sulaiman Awang, Raja Hamzah dan Osman Baru.
-Selain itu, anak-anak juga berpeluang melihat buat pertama kali naskah majalah kartun tempatan lama seperti seperti Ujang, Geli Hati dan Batu Api.
Muzium Negara
-Kenapa tidak ke Muzium Negara dan terokai ilmu mengenai proses pembentukan muka bumi serta menghayati cara hidup masyarakat prasejarah.
-Lengkapkan pengetahuan anda dengan berkunjung ke galeri yang memaparkan informasi tentang kerajaan-kerajaan Melayu, era kolonial dan Malaysia kini.
-Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun manakala dewasa RM2.
Farm Fresh @ UPM
-Ibu bapa yang ingin mendedahkan anak-anak dengan suasana ladang boleh berkunjung ke Farm Fresh @ UPM.
-Selain perkongsian menarik mengenai penternakan dan penjagaan lembu di samping pemprosesan susu, pengunjung juga berpeluang menikmati pengalaman memerah susu haiwan itu.
-Antara tarikan lain ialah petting zoo, kebun bunga, menaiki traktor dan jualan aiskrim serta yogurt.
-Tiket masuk berharga RM10 untuk kanak-kanak manakala dewasa (RM15).
Selangor Fruit Valley
-Ladang buah-buahan tropika berkeluasan 646 hektar ini terletak di Rawang, Selangor.
-Pelbagai aktiviti menyeronokkan boleh dilakukan di destinasi ini antaranya berbasikal, menaiki trem, bermain dengan haiwan di petting zoo, membuat telur masin, menangkap ikan, memetik buah-buahan, menanam pokok pisang dan sayur-sayuran di samping melakukan aktiviti air.
-Harga tiket adalah RM15 untuk kanak-kanak manakala RM20 (dewasa) tidak termasuk pakej.
-Buka setiap hari kecuali Jumaat.
Wetland Studios Putrajaya
-Taman tema didik hibur dalaman yang terletak di Putrajaya ini menawarkan kandungan bertemakan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar.
-Anak-anak pasti terhibur melihat replika haiwan animatronik dan hiasan berkonsepkan alam semula jadi dengan penggunaan teknologi seperti hologram, realiti tambahan (AR), realiti campuran (MR) serta realiti maya (VR).
-Terdapat 12 ruangan pameran seperti Insectopia, Dinosaur Encounter, Caventure, Jungle Jive, Sky Sanctuary, Flamingo Parade dan Artopia.-UTUSAN