SPM: Jurang gred purata bandar, luar bandar mengecil

SPM: Jurang gred purata bandar, luar bandar mengecil

FADHLINA Sidek (dua dari kanan) beramah mesra dengan calon SPM 2022 semasa meninjau keputusan peperiksaaan itu di Sekolah Menenangah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Jurang gred purata keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 antara pelajar bandar dengan luar bandar semakin mengecil kepada 0.43 mata berbanding 0.46 yang dicatatkan pada 2021.

Melihat kepada keputusan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beriltizam supaya jurang tersebut terus mengecil dari semasa ke semasa.

“Jurang perbezaan antara mereka akan dikecilkan lagi supaya pelajar di bandar dan luar bandar dapat akses yang sama dan berkualiti,” katanya ketika ditemui semasa meninjau keputusan SPM 2022 di Sekolah Menenangah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, jurang perbezaan keputusan SPM 2022 mengecil sebanyak 0.03 mata berbanding tahun sebelum ini.

Menurutnya, banyak faktor yang boleh menyumbang kepada pencapaian tersebut antaranya akses pendidikan, internet dan bahan rujukan.

“Perkara ini menggambarkan prestasi anak luar bandar sudah semakin baik, (prestasi) bandar meningkat, luar bandar lebih lagi meningkat.

“Ia juga menandakan anak luar bandar sudah mendapat akses pendidikan yang menyamai atau hampir sama dengan pelajar di bandar. Mungkin kita telah luaskan akses internet, mereka dah ada bahan yang boleh dirujuk dalam talian. Mungkin itu sebahagian daripada punca,” katanya.

Menurutnya, jika Kementerian Pendidikan dapat memperkasa lagi akses tersebut kepada pelajar luar bandar, beliau pasti prestasi golongan tersebut bertambah baik dan cemerlang.

“Apapun kita sejahterakan mereka, Insya-Allah mereka akan lebih cerdik dalam pembelajaran,” katanya.

Berdasarkan laporan keputusan SPM 2022, gred purata pelajar di bandar menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan 4.73 mata berbanding 4.84 pada tahun sebelumnya.

Manakala, gred purata bagi pelajar luar bandar pula bertambah baik daripada 5.30 mata kepada 5.16 pada tahun 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN