KOMUNITI sindrom down sering dikaitkan sebagai mangsa buli dan dera sama ada secara fizikal atau mental.
Di sebalik sifat peramah dan penyayang, kehadiran mereka dalam masyarakat masih dianggap membebankan bagi segelintir pihak.
Situasi tersebut barangkali berpunca akibat kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat sedangkan golongan itu juga berhak mendapat perhatian yang saksama.
Kekangan itu sekali gus memberi kesan dan cabaran kuat kepada komuniti sindrom down untuk menjalani kehidupan mereka.
Bagaimanapun, Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD), Hanizan Hussin berkata, tahap penerimaan masyarakat terhadap golongan itu kini adalah lebih baik berbanding 20 tahun lalu.
Dia dalam masa yang sama tidak menafikan ada ibu bapa yang memilih menyimpan dan menyorokkan anak istimewa masing-masing di rumah gara-gara pandangan negatif sanak-saudara, jiran, rakan serta orang sekeliling.
“Dahulu masyarakat menjauhkan diri mereka kerana menganggap sindrom down ini sebagai satu penyakit dan karma buat keluarga berkenaan, namun, keadaan sudah berbeza kini.
“Sekurang-kurangnya ada sedikit ruang buat anak-anak istimewa dalam masyarakat dan kita akan terus memainkan peranan untuk ‘up’ (tinggikan) kedudukan mereka supaya mampu menjadi individu berkualiti serta berdikari,” katanya kepada Utusan Malaysia pada sambutan Hari Sindrom Down Sedunia 2023 di Subang Jaya baru-baru ini.
Majlis anjuran PPDKSD bersama Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor (Orkids) dan Persatuan Warga Sindrom Down Negeri Selangor (PWSDNS) itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk bermain teng-teng dan lego di samping mewarna batik.
Yang hadir sama, rakan komuniti sindrom down yang juga penyanyi, Datuk DJ Dave.
Tarikh 21 Mac dipilih sebagai Hari Sindrom Down Sedunia bagi memupuk kesedaran global terhadap golongan itu agar mereka diberi peluang yang sama dalam aspek perhubungan kekeluargaan, pendidikan dan pekerjaan.
Jumlah komuniti sindrom down dianggarkan hampir 40,000 orang di seluruh Malaysia.
Sukatan khusus, pusat sehenti
Sementara itu, Hanizan berkata, sistem pembelajaran sedia ada ketika ini dilihat tidak bersesuaian dengan kemampuan golongan sindrom down.
Menurutnya, anak-anak sindrom down memiliki tahap kecerdasan (IQ) rendah dan sederhana, iaitu paling lemah berbanding pelajar orang kurang upaya (OKU) lain.
Justeru, katanya, sukatan khusus perlu dibangunkan termasuk berkaitan latihan dan kemahiran bagi mempersiapkan golongan itu ke dunia pekerjaan.
Ujarnya, di luar negara, pelbagai kemudahan latihan ditawarkan untuk komuniti itu di pusat-pusat sokongan manakala di Malaysia hanya terhad di sekolah berkeperluan khas yang merangkumi semua jenis kecacatan.
“Antara program yang boleh dibangunkan ialah terapi fizikal, pertuturan dan kemahiran yang amat diperlukan anak-anak sindrom down.
“Pembelajaran sebegitu diyakini mampu meningkatkan kemampuan dan keupayaan mereka misalnya daripada rendah kepada pertengahan diikuti pertengahan kepada tinggi,” katanya.
Menurut Hanizan, kerajaan juga boleh mewujudkan pusat sehenti atau perkampungan khas sebagai pusat latihan pembelajaran bagi memenuhi kebajikan sosial komuniti sindrom down.
Katanya, menjadi impian semua ibu bapa untuk melihat anak-anak istimewa mereka berjaya mencapai tahap tertentu serta mengurus diri dan seterusnya berkhidmat kepada masyarakat.
Ujarnya, banyak kes kemurungan dilaporkan berlaku apabila anak-anak tidak mendapat sokongan atau perkhidmatan yang sepatutnya termasuk dalam aspek pendidikan.
Turun kriteria, polisi pengambilan kerja
Lebih ramai individu sindrom down dapat memasuki pasaran kerja jika kerajaan menurunkan kriteria atau polisi pengambilan tenaga kerja.
Hanizan berkata, pihaknya kini giat berganding bahu dengan Kementerian Sumber Manusia bagi merealisasikan usaha tersebut.
“Jika diberikan kerja yang sesuai dengan keadaan dan kemahiran sekurang-kurangnya mereka boleh meraih pendapatan selain elaun OKU yang diterima.
“Mereka boleh bekerja dalam bidang makanan dan minuman (F&B) di samping perhotelan dengan membungkus syampu atau sos, cuma gaji agak sedikit dan kita akan memperjuangkan agar upah diterima mereka setimpal,” katanya.
Pendedahan kepada muzik sejak kecil membolehkan remaja sindrom down, Amal Zafry Nor Azman, 16, mahir bermain dram.
Malah, anak ketiga daripada empat beradik itu turut mempunyai bakat menunggang kuda dan merupakan atlet bimbingan ke Sukan Olimpik.
Menurut ibunya, Sri Rahayu Samsudin, 49, seawal usia empat bulan lagi anaknya sudah didedahkan dengan perkhidmatan sokongan dan intervensi menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kiwanis Malaysia dan kini di Sekolah Orkids 2.
“Amal Zafry juga mampu menulis dan membaca di samping menguruskan diri, malah masa lapangnya dimanfaatkan dengan melukis, mencari maklumat baharu di Internet di samping membuat video di laman sosial.